JAKARTA: Ratusan pelajar turun ke jalanan di ibu negara Indonesia pada Jumaat bagi membantah dasar kerajaan yang menurut mereka boleh ‘memufliskan’ negara.
Para pelajar menuntut Presiden Prabowo Subianto menghentikan perbelanjaan negara yang disifatkan membazir serta memansuhkan program makanan percuma beliau, yang kini dibelenggu insiden keracunan besar-besaran dan dakwaan rasuah.
Mereka juga membantah keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api, yang akan menjejaskan golongan kelas pertengahan.
Protes pada Jumaat berlaku ketika kemarahan awam semakin meningkat dan berlarutan selama beberapa bulan berhubung dakwaan salah urus negara. Mata wang rupiah, juga baru-baru ini susut ke paras terendah baharu.
“Harga bahan api naik, dan kehidupan kami semakin sukar,” kata seorang pelajar universiti, Zaki, yang kedengaran menjerit kepada anggota polis.
Gambar daripada protes itu menunjukkan anggota polis memegang perisai cuba menghalang pelajar ketika mereka berarak menuju ke bulatan Hotel Indonesia, sebuah mercu tanda di Jakarta.
Rakaman video BBC Indonesia menunjukkan orang ramai kemudian cuba menolak dan menendang untuk melepasi benteng polis. Beberapa objek turut dilihat dilempar ke udara.
Tiada laporan segera mengenai sebarang kecederaan.
Di media sosial, para penunjuk perasaan menggunakan tanda pagar #MenujuIndonesiaBangkrut, yang bermaksud ‘Menuju Indonesia Bangkrut’.
Protes ini berlaku kurang setahun selepas demonstrasi ganas antikerajaan pada Ogos lalu, apabila kematian seorang penghantar makanan mencetuskan kemarahan terhadap pemerintahan elit dan dakwaan salah urus negara.
Awal minggu ini, syarikat milik negara Pertamina menaikkan harga dua jenis bahan api yang digunakan secara meluas, dikenali sebagai Pertamax, lebih daripada 30 peratus.
Indonesia sebelum ini secara umumnya mengekalkan harga bahan api pada paras stabil, namun program Prabowo seperti makanan percuma memberi tekanan kepada bajet negara.
Program makanan percuma itu merupakan teras utama agenda Prabowo dan menjadi elemen penting dalam kempen pilihan raya presiden 2024.
“Sudah ada insiden seperti keracunan makanan beramai-ramai, dan kini rasuah. Orang ramai telah meminta ia dihentikan, tetapi tuntutan itu tidak diendahkan,” kata seorang lagi mahasiswa, Rina.
Minggu lalu, Prabowo memecat ketua agensi yang bertanggungjawab terhadap program makanan percuma itu susulan insiden keracunan makanan serta dakwaan rasuah.- BBC










