Kerajaan berusaha selesai isu Rohingya - Utusan Malaysia

Kerajaan berusaha selesai isu Rohingya

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan jemaah ketika tiba untuk solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha mencari jalan penyelesaian termasuk menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga serta menguruskan proses penghantaran pulang ke negara asal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelarian Rohingya merupakan isu kemanusiaan yang kompleks kerana proses penghantaran pulang masih berdepan halangan daripada pihak berkuasa Myanmar.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan dua kali pertemuan dengan kepimpinan Myan­mar dan mengemukakan dua perkara utama iaitu memastikan bantuan disalurkan memberi manfaat kepada rak­yat serta menghentikan penindasan dan jenayah terhadap rakyatnya, khususnya komuniti muslim dan Rohingya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Jepun, saya juga bincang dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi tentang hal ini.

“Ini isu kemanusiaan. Orang berbicara hantar pulang mereka, tapi hantar pulang kemana? Kita ada masalah dengan Kerajaan Myanmar yang menghalang.

“Sekarang ini, kita terpaksa hadapi masalah kerana kita cari jalan untuk dikirim ke negara ketiga dan juga pulang tetapi masih belum berhasil. Bukan sahaja kita, seluruh kawasan Bangladesh ada jutaan pelarian termasuk di Cox’s Bazar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini semalam.

Perdana Menteri menegaskan, pelarian Rohingya di Malaysia perlu mematuhi undang-undang negara termasuk peraturan berkaitan bangunan, perniagaan dan pentadbiran tempatan.

“Nasihat kepada rakyat Myan­mar, Rohingya, dia juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita. Bangunannya, perniagaannya mesti mengikut peraturan.

“Kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan. Tapi saya harap dalam semangat itu semua, sementara undang-undang dihormati, kita akan tegas hal ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan berbincang kerajaan negeri dan perbandaran agar lebih bertegas dengan isu pembinaan bangunan.

“Tadi pun dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Kita tetap bertindak kalau ada pelanggaran.

“Kita juga akan bincang dengan kerajaan negeri kerana isu bangunan itu, isu perbandaran dan kerajaan negeri juga harus bertegas.

“Tetapi saya harap rakyat kita, terutama masyarakat Islam yang berdepan harus jaga kemanusiaan kita. Dan janganlah melanggar peraturan undang-undang dalam menangani masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini