PILIHAN Raya Umum Ke-16 (PRU16) dikhuatiri berlangsung sekali lagi dalam keadaan ‘tempang’ sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik gagal dibentangkan dan dimuktamadkan sebelum pilihan raya diadakan.
Ketiadaan kerangka undang-undang yang jelas berkaitan pembiayaan politik dilihat berpotensi menjejaskan tahap ketelusan serta integriti proses demokrasi negara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesiapsiagaan sistem pilihan raya Malaysia menghadapi cabaran politik masa hadapan.
Usaha memperkenalkan RUU Pendanaan Politik sememangnya merupakan satu langkah penting dalam agenda reformasi institusi negara.
Dalam konteks demokrasi moden, ketelusan sumber kewangan politik bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan asas bagi memastikan integriti sistem pilihan raya terus terpelihara.
Namun, perkembangan semasa masih belum cukup untuk membawa RUU tersebut ke tahap pembentangan di Parlimen. Proses yang berlarutan serta keperluan mendapatkan persetujuan semua parti politik dilihat menjadi antara faktor utama kelewatan pelaksanaannya.
Walaupun konsensus politik penting, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk menangguhkan reformasi yang bersifat fundamental.
Dalam sistem demokrasi, ketelusan dana politik merupakan elemen yang berkait rapat dengan kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan struktur pemerintahan negara.
Pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa parti politik perlu bersetuju kerana mereka akan terikat dengan undang-undang tersebut, dilihat realistik dari sudut pelaksanaan.
Namun, kenyataan itu juga menunjukkan betapa kompleksnya proses mencapai kata sepakat dalam isu yang melibatkan kepentingan politik pelbagai pihak.
Keadaan tersebut secara tidak langsung menjelaskan mengapa reformasi ini mengambil masa panjang untuk direalisasikan.
Hakikatnya, tanpa undang-undang khusus, ruang untuk ketidaktelusan dan penyalahgunaan dana politik masih wujud dalam sistem semasa.
Situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada persaingan politik yang adil, malah boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi negara.
Dalam konteks ini, desakan agar RUU Pendanaan Politik dipercepatkan sebelum PRU16 adalah wajar dipertimbangkan secara serius oleh semua pihak berkepentingan.
Pilihan raya merupakan medan utama demokrasi, maka kerangka peraturan yang mengawalnya perlu lengkap dan kukuh sebelum proses tersebut berlangsung.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menegaskan Malaysia masih ketinggalan kerana belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik berbanding banyak negara lain yang telah lama melaksanakannya.
Pandangan tersebut menggambarkan realiti bahawa reformasi ini bukan lagi isu baharu, sebaliknya sudah lama dibincangkan namun masih belum mencapai tahap pelaksanaan yang muktamad.
Keadaan itu menimbulkan persepsi bahawa terdapat kekangan politik tertentu yang menghalang ia daripada direalisasikan sepenuhnya walaupun keperluannya semakin mendesak.
Malah, pemerhati politik berpandangan kelewatan menggubal undang-undang berkaitan pendanaan politik boleh menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap komitmen reformasi institusi yang sering dilaungkan oleh pelbagai pihak.
Dalam era politik moden yang semakin terbuka dan dipantau masyarakat, ketelusan sumber kewangan parti politik menjadi antara indikator penting bagi mengukur tahap integriti sesebuah sistem demokrasi.
Tanpa mekanisme kawalan yang jelas, kebimbangan terhadap pengaruh pihak berkepentingan, pembiayaan tersembunyi dan campur tangan pihak tertentu dalam proses politik akan terus menjadi polemik dalam kalangan rakyat.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kewujudan Akta Pendanaan Politik bukan lagi satu pilihan dasar, sebaliknya keperluan mendesak bagi menjamin integriti sistem demokrasi negara.
Beliau berkata, PRU16 yang diadakan tanpa akta tersebut akan terus membuka ruang kepada pelbagai bentuk rasuah politik.
“Tanpa keraguan, pilihan raya tanpa Akta Pendanaan Politik akan membolehkan aliran dana tidak telus, sumbangan bersyarat serta pembelian pengaruh dan akses terus berlaku.
“Tanpa kawalan undang-undang, pembiayaan politik akan kekal sebagai zon kelabu yang sukar diaudit dan mudah dimanipulasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Jais, akta tersebut perlu disegerakan dan tidak boleh lagi ditangguhkan.
Katanya, membiarkan PRU16 berlangsung tanpa akta berkenaan hanya akan menyebabkan sistem sedia ada terus terdedah kepada kelemahan serta risiko penyalahgunaan dana politik.
“Menangguhkan akta ini bermakna kita membiarkan satu lagi pilihan raya berlangsung dalam keadaan sistem yang lemah dan mudah dimanipulasi,” katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata, beberapa elemen kritikal perlu dimasukkan dalam akta berkenaan bagi memastikan keberkesanannya.
“Antara elemen tersebut termasuk had maksimum derma individu dan korporat, larangan sumbangan proksi serta dana berlapis, pendedahan sumbangan secara telus dan berkala, audit wajib oleh badan bebas serta hukuman tegas termasuk pembatalan kelayakan bertanding.
“Tanpa elemen-elemen ini, akta tersebut hanya akan menjadi kosmetik dan tidak mampu menangani isu sebenar pembiayaan politik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan, kelewatan meluluskan akta tersebut memberi gambaran wujudnya kebergantungan terhadap dana tidak telus dalam sistem politik.
“Jika benar semua pihak komited kepada integriti, akta ini sepatutnya sudah lama diluluskan,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, Akta Pendanaan Politik perlu digubal dengan berani dan menyentuh struktur sebenar pembiayaan politik, bukan sekadar memberi tumpuan kepada pendedahan semata-mata.
Katanya, reformasi tersebut juga penting bagi memastikan parti politik lebih bertanggungjawab terhadap sumber kewangan mereka serta mengurangkan persepsi pengaruh pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan kerajaan.
“Akta ini mesti memberi penekanan kepada pencegahan dan penguatkuasaan dan paling penting, perlu dilaksanakan sebelum PRU16, bukan selepasnya.
“Jika tidak, kita hanya mengurus persepsi, bukannya membetulkan sistem,” katanya. –UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










