TAPAH: Komuniti Orang Asli di sini berharap kumpulan pendaki dapat memaklumkan tentang aktiviti mereka terlebih dahulu kepada tok batin di kampung berdekatan.
Langkah itu supaya bantuan dapat diberikan jika berlaku hal kecemasan seperti tersesat atau cedera semasa mendaki gunung di kawasan ini.
Penduduk Orang Asli Kampung Pos Gedong, Bah Kajong, 72, berkata, ini kerana komuniti itu adalah kumpulan paling hampir dengan pendaki yang boleh memberikan bantuan segera jika berlaku perkara tidak diingini.
Menurutnya, mereka mempunyai keupayaan untuk memberikan bantuan kerana mahir selok-belok hutan yang menjadi tempat tinggal mereka turun-temurun.
“Sesiapa yang hendak naik (mendaki gunung) kalau boleh jumpalah tok batin dulu sebab kita mahu bekerjasama. Kalau kami tidak diberitahu, macam mana kami hendak bantu kalau berlaku apa-apa di atas sana (gunung).
“Kalau berlaku hal kecemasan, bolehlah tok batin kerah anak buah untuk membantu, tetapi kalau tak diberitahu, mungkinlah lewat kami hendak bantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai kes Jaslinda Saludin, 49, pendaki wanita yang sesat ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini, Bah memberitahu tidak mengetahui wanita itu dan kumpulannya mendaki gunung tersebut.
Katanya, cuma dia ada mendengar suara sekumpulan individu yang dipercayai kumpulan yang dianggotai oleh Jaslinda melalui kampung tersebut kira-kira pukul 4 pagi 24 Mei lalu, dipercayai menuju ke Gunung Batu Putih.
“Biasanya kalau kumpulan pendaki makluman pada kami, bolehlah kami beri sedikit penerangan terutama faktor keselamatan. Ia sangat penting apatah lagi dalam hutan bukan senang,” katanya lagi.-UTUSAN.











