KUALA LUMPUR: Di kala ramai anak seni terhimpit dek kesan pandemik yang belum bertemu hujung jalannya, pelakon cantik, Rozita Che Wan turut mengakui terkesan dan tidak tahu sampai bila dia boleh berharap kepada simpanannya.
Rozita atau lebih popular sebagai Che Ta berkata, dia tidak boleh duduk diam dan membuang masa sebaliknya tetap meneruskan perniagaan serta mencuba bidang baharu mencari pendapatan sampingan demi kelangsungan hidup.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kalau setakat makan dan tidur sahaja sangat membuang masa. Kita tak boleh jangka sampai bila keadaan ini akan berlarutan. Kalau tak ada pendapatan, perbelanjaan tetap berjalan.
“Kos sara hidup, yuran sekolah dan universiti satu sen pun tidak berkurang walau dah setahun kelas secara dalam talian. Itu belum kira sewa dan perbelanjaan peribadi. Jadi saya dan keluarga tetap mencari jalan menambah pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Che Ta, pengalaman ketika PKP 1.0 banyak mengajar dia dan keluarga untuk berjimat cermat dan mula meniaga produk makanan Dari Dapur Che Ta yang sedikit sebanyak menambah sumber kewangan ketika pandemik ini.
“Semestinya pandemik dan PKP memberi impak yang sangat besar kepada semua termasuk pemain industri seni. Lagi-lagi macam kami yang bukan makan gaji. Sampai bila nak harap simpanan sahaja kan. Bukit kalau ditarah (selalu), (lambat laun) akan rata juga.
“Kalau kita tahu berapa lama keadaan ini akan berlarutan, sekurang-kurangnya kita boleh rancang. Tetapi sekarang, tak tahu lah,” katanya. – UTUSAN











