Jentera pemungut sawit tingkatkan produktiviti - Utusan Malaysia

Jentera pemungut sawit tingkatkan produktiviti

Kaedah memungut buah sawit relai menggunakan teknologi jentera yang lebih mudah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktiviti memungut buah sawit sehingga kini masih dijalankan secara meluas dengan kaedah manual. Walaupun telah melalui peredaran zaman, kaedah tradisional itu sahaja yang masih terpakai sehingga kini.

Berusaha untuk membawa industri sawit terus ke hadapan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menginovasi satu jentera pemungut buah sawit relai yang cekap sekali gus mampu menjimatkan kos.

Teknologi yang direka oleh sekumpulan penyelidik lembaga berkenaan mengubah cara memungut buah sawit relai secara konvensional iaitu buah relai yang dikumpulkan secara manual akan dimasukkan ke dalam bekas atau beg.

Kaedah ini bukan sahaja menuntut tenaga kerja dan memakan masa tetapi membebankan. Tambahan pula, pekerja perlu membongkok untuk memungut buah sawit relai sepanjang hari. Proses ini meletihkan serta tidak produktif.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi berkenaan menawarkan penyelesaian memandangkan sektor perladangan komoditi berkenaan sangat memerlukan sistem pemungutan buah sawit relai yang lebih efisien.

DR, AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR

“Teknologi ini menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi dalam pemungutan buah sawit relai di ladang. Sebagaimana sedia maklum, buah sawit relai mengandungi kandungan minyak tertinggi daripada kebanyakan buah yang terdapat di tandan.

Jentera ini mampu memastikan agar semua buah relai dapat dikutip, meningkatkan pendapatan dan keuntungan ladang yang lebih tinggi kerana kadar pengekstrakan minyak yang lebih baik,” katanya.

Kaedah penggunaan teknologi ini adalah dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini.

Dengan menggunakan konsep siklon, buah sawit relai akan disedut ke dalam bekas berbentuk silinder atau tong. Konsep ini juga mampu memisahkan buah sawit relai daripada sampah sarap.

Semasa buah relai berpusing di dalam ruang tong, buah relai yang berat akan jatuh ke bahagian bawah tong kerana kehilangan tenaga sementara sampah sarap yang lebih ringan seperti daun kering akan disedut keluar daripada sistem.

Pengkomersialan

Aktiviti penyelidikan komprehensif dalam membangunkan teknologi ini telah dimulakan sejak tahun 2012 lalu bagi mencari kaedah yang lebih sesuai dan efisien dalam industri sawit.

Sepanjang tempoh berkenaan, beberapa konsep dan prototaip dibangunkan dan diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit.

Hasil ujian yang dijalankan menunjukkan secara purata, jentera berkenaan mampu memungut buah sawit relai antara 4.2 dan 5.1 kilogram perminit atau 1,200 hingga 1,500 kilogram (kg) sehari dengan kandungan sampah kurang daripada 15 peratus.

Malah, buah sawit relai juga didapati tidak rosak semasa operasi membuktikan bahawa kaedah berkenaan bercekapan tinggi dan selamat untuk diaplikasikan di ladang-ladang.

Oleh itu, satu perjanjian ditandatangani antara MPOB dengan RZtech Resources Sdn. Bhd. bagi tujuan pengkomersialan sekali gus sebagai usaha meningkatkan produktiviti dan tenaga kerja industri berkenaan.

Syarikat itu juga menerima dana pengkomersialan melalui Program Dana Mekanisasi Sawit.

Kualiti lebih baik

Kecekapan teknologi berkenaan yang mengurangkan kandungan sampah ketika proses pengumpulan sawit mendorong kepada peningkatan kualiti komoditi tersebut.

Buah sawit relai kini dapat dihantar ke kilang dengan peratusan sampah yang rendah dan memastikan kualiti buah sawit yang lebih baik serta membantu mengurangkan masalah pengilangan yang berkaitan dengan kaedah pengumpulan semasa.

Pungutan buah sawit relai boleh dilakukan oleh pemandu yang duduk di atas jentera.

Selain itu, pekerja juga tidak perlu menggunakan kudrat yang berlebihan ketika seharian bekerja.

Pemungutan buah sawit relai dapat dilakukan oleh pemandu yang duduk di atas jentera tanpa menyebabkan pekerja sakit belakang.

Ia juga dapat meringankan beban pekerja kerana tidak perlu membawa beg yang berisi buah sawit relai di sepanjang laluan penuaian.

Justeru, ia bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti hasil, malah produktiviti pekerja juga mampu dipertingkatkan dan turut memperbaiki cara bekerja yang akan menghasilkan pendapatan lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×