KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan alam sekitar dan kini menunggu hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung isu yang tular membabitkan Pulau Perhentian.
Ia susulan video tular dalam aplikasi Threads memaparkan sebatang paip dipercayai mengalirkan air buangan berwarna keruh ke laut berhampiran pulau peranginan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya telah mengarahkan JAS menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan alam sekitar.
Beliau mengetahui perkara itu selepas melihat rakaman video yang dikongsikan dalam media sosial sebelum menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan.
Menurutnya, pihak berkenaan memaklumkan kerja-kerja yang dijalankan ketika ini melibatkan proses membaik pulih serta penambahbaikan sistem di kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, saya telah mengarahkan JAS supaya melihat perkara ini secara lebih terperinci dan menyeluruh. Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap peraturan alam sekitar, saya minta JAS mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra sempena Program Gema Payang di Pasar Payang di sini.
Razali berkata, kerajaan negeri memandang serius sebarang isu yang boleh memberi kesan kepada kelestarian alam sekitar, khususnya di pulau-pulau peranginan yang menjadi antara aset pelancongan utama Terengganu.
Katanya, Pulau Perhentian, Pulau Redang dan beberapa pulau lain adalah destinasi penting yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kita tahu sektor pelancongan antara penyumbang penting kepada ekonomi negeri dan sebahagian besar pelancong yang datang ke Terengganu memilih bercuti di pulau-pulau peranginan.
“Jika kita gagal menjaga khazanah alam semula jadi ini dengan baik, kesannya bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga industri pelancongan dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, isu caj penggunaan tandas persendirian sehingga RM5 di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang telah diselesaikan selepas pengusahanya menurunkan kadar tersebut kepada RM3.
Menurutnya, kadar yang dibenarkan berdasarkan syarat asal yang diberikan hanyalah antara RM2 hingga RM3 bagi setiap pengguna.-UTUSAN.









