PETALING JAYA: AEON Bank, bank digital Islamik pertama di Malaysia meraikan ulang tahun kedua penubuhannya dengan tema sambutan ‘2gether Lagi Better’ menerusi pelbagai kempen bertumpukan pelanggan dan penawaran produk digital yang penuh kelainan.
Bank dalam kenyataan berkata, satu daripada tarikan utama sambutan ialah fungsian mentor pengurusan kewangan berpacukan kecerdasan buatan (AI) dalam aplikasi AEON Bank yang dinamakan Neko Sensei.
Katanya, ulang tahun kedua bank ini mencerminkan pertumbuhan mampan serta keupayaan teknologi yang semakin berkembang, dibina berlandaskan infrastruktur digital, sekali gus menjadikannya pemangkin teknologi kewangan (fintech).
“Direka cipta untuk mendorong pelanggan menguasai tips bijak berbelanja dan menggalakkan mereka untuk lebih peka dan proaktif menerusi panduan pengurusan kewangan praktikal, Neko Sensei berperanan sebagai mentor peribadi pengurusan kewangan yang dapat membantu anda lebih celik ringgit dan yang mudahnya, ia boleh diakses menerusi aplikasi AEON Bank.
“Membawa pembaharuan ketara dalam pengurusan kewangan peribadi yang lebih proaktif, Neko Sensei berfungsi sebagai sahabat bajet atau perancang kewangan yang dapat membantu menterjemahkan data atau persoalan kewangan rumit kepada maklumat atau tips yang mudah diguna pakai.
“Ini sekali gus membantu pelanggan mengurangkan ketirisan kewangan, menggandakan wang simpanan serta membantu dalam memahami corak perbelanjaan, justeru memudahkan pelanggan untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak,” katanya dalam kenyataan.
Selain Neko Sensei, untuk menghebahkan lagi tema 2gether Lagi Better, AEON Bank telahmelancarkan kempen interaktif, demi mencapai pengguna di seluruh Malaysia bagi mendorong penggunaan perbankan digital secara lebih luas dan menggalakkan penggunaan harian menerusi keterlibatan O2O yang interaktif.
Bagi menggandakan keterujaan sambutan ulang tahun, AEON Bank akan turut serta dalam siaran TikTok Live pada 5 dan 6 Jun 2026.
“Sepanjang siaran langsung TikTok Live tersebut, para pelanggan dapat menyaksikan penampilan istimewa pasangan suami isteri, Ansari Ramli dan Yuna Zainal.
“Penonton siaran langsung juga berpeluang menebus hadiah eksklusif serta kod promosi bernilai keseluruhan RM2,222,” jelasnya.
Mengimbas kembali pencapaian sepanjang dua tahun lalu, bank terus merekodkan perkembangan positif dari segi kepercayaan dan keterlibatan pelanggan, lantas membuktikan bahawa sektor perbankan digital kian berkembang pesat.
“Ulang tahun kedua menggambarkan perjalanan dua tahun AEON Bank dan tema 2gether Lagi Better memperlihatkan hubungan erat antara AEON Bank dan pihak-pihak berkepentingan di seluruh aspek, terutamanya para pelanggan Perbankan Peribadi dan Perbankan Perniagaan (AEON Bank Biz).
“Tema ini menekankan AEON Bank melangkah maju bersama komuniti dan bersedia memberikan perkhidmatan yang lebih dinamik,” ujarnya. – UTUSAN










