WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran hampir mencapai rangka kerja bagi melanjutkan gencatan senjata pada Khamis, namun Presiden Donald Trump masih belum meluluskan sebarang perjanjian, menurut pegawai AS.
Sumber AS sebelum ini memberitahu AFP, kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai memorandum persefahaman (MoU) untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata selama 60 hari.
Namun, Naib Presiden AS, JD Vance berkata, Trump, yang dilihat berdiam diri sepanjang hari, masih belum menandatangani perjanjian tersebut. Iran pula belum memberikan sebarang reaksi segera.
“Sukar untuk dipastikan bila atau sama ada Presiden akan menandatangani MoU itu.
“Kami masih berunding mengenai beberapa perkara berkaitan bahasa dalam perjanjian. Banyak kemajuan telah dicapai,” kata Vance kepada wartawan.
Vance berkata, Iran setakat ini dilihat berunding dengan ‘niat baik’, dan kedua-dua pihak mahu membuka semula Selat Hormuz, namun masih terdapat perbezaan pendapat mengenai stok uranium diperkaya milik Iran.
“Diharapkan kami akan terus mencapai kemajuan dan Presiden berada dalam kedudukan untuk menyokong perjanjian itu, tetapi perkara itu masih belum diputuskan,” katanya.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent sebelum ini berkata, ‘mungkin sudah ada asas untuk mencapai perjanjian’, namun beberapa syarat utama yang ditetapkan Trump masih belum dipenuhi.
“Beliau tidak akan menerima perjanjian yang buruk. Beliau mahu menghasilkan perjanjian terbaik untuk rakyat Amerika,” kata Bessent dalam taklimat di Rumah Putih.
Sumber AS turut mengesahkan laporan portal Axios berhubung memorandum persefahaman (MoU) itu akan membuka semula Selat Hormuz, namun isu program nuklear Iran masih belum diselesaikan dan rundingan lanjut akan diteruskan.
Menurut Axios, perjanjian selama 60 hari itu menetapkan laluan perkapalan di Selat Hormuz akan dibuka tanpa sekatan, tol atau gangguan, selain Iran perlu membersihkan semua periuk api dalam tempoh 30 hari.
Sebagai balasan, AS akan menarik balik sekatan laut terhadap pelabuhan Iran secara berperingkat berdasarkan tahap pemulihan trafik perkapalan komersial.
Memorandum itu juga mengandungi komitmen Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear, menurut laporan Axios.
Antara isu awal yang akan dibincangkan ialah bagaimana untuk melupuskan stok uranium diperkaya milik Iran.
Trump berkata dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu beliau masih ‘tidak berpuas hati’ dengan tawaran Iran dan memberi amaran boleh ‘menyelesaikan tugas itu’ melalui tindakan ketenteraan.
Trump berulang kali menegaskan Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dalam mana-mana perjanjian bagi menamatkan perang yang dilancarkan AS dan Israel pada 28 Februari lalu. Satu gencatan senjata rapuh berkuat kuasa sejak 7 April.
Washington dan Teheran sebelum ini saling menuduh melanggar gencatan senjata pada Khamis susulan insiden berbalas tembakan.
Bagaimanapun, Bessent menegaskan gencatan senjata itu masih berkuat kuasa.- AFP








