Selamatkah vaksin Covid-19 untuk wanita hamil? - Utusan Malaysia

Selamatkah vaksin Covid-19 untuk wanita hamil?

KADAR kesuburan penduduk Malaysia merosot berikutan tahap pendidikan tinggi wanita
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) baru-baru ini berkata, vaksin Pfizer diumumkan sebagai pilihan sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusukan bayi.

Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Somaskandar Sivasuntharam berkata, wanita hamil perlu mendapat rujukan pakar ibu dan anak sebelum mengambil vaksin bagi mengetahui status kesihatan kehamilannya.

DR. SOMASKANDAR SIVASUNTHARAM

Katanya, kajian ujian dilakukan di United Kingdom (UK) mendapati wanita dalam proses mengandung boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Namun, masih belum ada data keselamatan yang lengkap dari segi ujian klinikal dan kajian tambahan mengenai keselamatan vaksin Covid-19 termasuk vaksin RNA messenger (mRNA) untuk diberikan semasa kehamilan.

“Kajian dilaksanakan oleh pakar perubatan dari UK dan kenyataan Kementerian Kesihatan secara umumnya mendedahkan apabila seorang wanita hamil, tubuhnya akan mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya.

“Ia menyebabkan tahap imuniti ibu menurun sekali gus memudahkan mereka terdedah kepada pelbagai jenis penyakit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi baru-baru ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula sejak penghujung Februari lalu yang dijalankan secara berperingkat, mensasarkan pemberian vaksin awal kepada golongan berisiko tinggi seperti barisan hadapan.

Selain itu, wanita hamil antara golongan berisiko yang perlu dilindungi.

Tdap tambahan

Wanita hamil turut digalakkan mengambil vaksin influenza dan Tdap (Tetanus, Diphtheria, Pertussis) bagi melindungi dirinya daripada influenza, kancing gigi, difteria dan batuk kokol (whooping cough).

Influenza dan Tdap membantu memastikan antibodi yang dibina dalam badan, boleh disalurkan kepada bayi.

“Wanita hamil atau yang mencuba untuk mengandung, sila dapatkan nasihat lanjut daripada pakar bagi menentukan keperluan mengambil vaksin Covid-19, berdasarkan tahap kesihatan masing-masing,” katanya.

Tempoh sesuai divaksin

Vaksin perlu diambil ketika kandungan berusia 13 ke 33 minggu dan ke atas sahaja.

Manakala usia kandungan yang baru dua atau tiga minggu tidak digalakkan bagi mengelak sebarang kesan sampingan lain.

Bakal ibu atau wanita yang sedang cuba untuk mengandung, selamat untuk mengambil suntikan vaksin.

Mengenai kesan sampingan vaksin terhadap bayi dalam kandungan, Dr. Somaskandar berkata, tiada laporan buruk diterima sama ada dalam kalangan ibu hamil atau yang sedang menyusukan bayi selepas mengambil vaksin Pfizer dan Astra Zaneca.

“Kesan sampingan selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dalam tempoh singkat.

“Sekiranya perlu, doktor akan memberi ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan dialami,” jelasnya.

Tegas beliau, kes pandemik terlalu banyak dan pelbagai komplikasi boleh berlaku ketika proses kelahiran.

Sebagai langkah persediaan dan keselamatan ibu dan anak, pengambilan vaksin adalah amat digalakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×