Tiada ketua jurulatih bukan alasan - Nazmizan

Tiada ketua jurulatih bukan alasan – Nazmizan

Nazmizan Muhammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu ketiadaan ketua jurulatih bagi skuad pecut kebangsaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merencatkan persiapan atlet terutamanya menjelang Sukan SEA 2027.

Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) perlu mengalihkan fokus ke arah memperkasakan jurulatih tempatan dan memperbanyakkan pendedahan kejohanan bertaraf tinggi di luar negara.

Menurutnya, proses latihan atlet tidak terjejas dan masih berjalan lancar biarpun kerusi ketua jurulatih masih kosong selepas perancangan untuk membawa masuk kepakaran dari Jamaica belum dapat direalisasikan.

“Atlet berstatus profesional tahu tanggungjawab mereka dan masih berlatih di bawah bimbingan jurulatih peribadi atau jurulatih negeri masing-masing.

“Kita dapat lihat Danish Iftikhar cemerlang merekodkan masa 10.4 saat tahun ini hasil bimbingan bapanya sendiri.

“Sebagai atlet, jika mereka berhenti berlatih dan gagal merekodkan catatan masa kelayakan, sudah tentu mereka tidak akan terpilih mewakili negara. Mereka faham akan realiti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nazmizan berkata, perkara ini adalah masa terbaik untuk memberi kepercayaan penuh kepada tenaga pakar tempatan yang telah terbukti berjaya mencungkil dan melahirkan ramai bakat baharu dari peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, beliau bersetuju agar dana yang ada digunakan sebagai pelaburan untuk menghantar atlet-atlet berpotensi berlatih di luar negara berbanding membayar gaji yang tinggi untuk seorang jurulatih import.

“Jika dana disalurkan untuk menghantar atlet berguru di luar negara, mereka berpeluang berlatih bersama pelari-pelari yang lebih pantas sebagai sparring partner.

“Persekitaran yang sangat kompetitif ini jauh lebih berkesan untuk mematangkan atlet berbanding hanya berlatih di dalam negara.

“MA perlu hantar atlet bersaing di kejohanan kelas A di peringkat Asia mahupun antarabangsa seperti di Jerman atau Taiwan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×