DUNIA sedang berdepan krisis geoolitik paling genting dalam sejarah moden apabila operasi ketenteraan berskala besar Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, dikenali sebagai Operation Epic Fury, tercetus pada 28 Februari lalu.
Konflik ini bukan sahaja menggegarkan Asia Barat, malah turut memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia, sehingga dirasai dalam kos sara hidup, harga barang dan dasar fiskal negara.
Ketegangan ini tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan kemuncak kepada konflik berpanjangan antara Iran, Israel dan AS yang berpusat kepada isu program nuklear Iran.
Ketika rundingan tidak langsung antara Iran dan AS sedang berlangsung di Oman, serangan udara mengejut dilancarkan ke atas Iran. Serangan itu mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, sekali gus mencetuskan tindak balas besar-besaran dari Tehran.
Iran kemudiannya melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta pangkalan tentera AS di 12 negara Teluk termasuk Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam tindakan paling drastik, Iran turut menutup Selat Hormuz bermula 2 Mac lalu, sekali gus mengubah konflik ketenteraan ini menjadi krisis ekonomi global.
Sehingga 12 April, lebih 3,375 nyawa dilaporkan terkorban akibat pertempuran ini. Data ACLED menunjukkan lebih 3,000 serangan udara dilancarkan oleh AS dan Israel, manakala Iran melancarkan sekitar 1,600 serangan balas.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun ketegangan masih belum reda sepenuhnya dan risiko eskalasi kekal tinggi.
Selat Hormuz pula menjadi titik paling kritikal dalam krisis ini. Laluan sempit dengan lebar kira-kira 33 kilometer itu mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas cecair dunia setiap hari. Apabila laluan ini ditutup, kesannya segera merebak ke seluruh dunia seperti urat nadi ekonomi global yang tersumbat.
Harga minyak mentah dunia melonjak lebih 40 peratus, mencecah AS$110 (dianggarkan RM433 – RM444) setong pada awal Mac dan meningkat melebihi AS$120 (RM473.94) setong pada 1 Mei, lalu.
Beberapa negara memberi amaran gangguan ini berpotensi mencetuskan kemelesetan ekonomi global.
Malaysia tidak terkecuali kerana lebih 50 peratus import minyak negara melalui Selat Hormuz, manakala nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi menjadikan ekonomi negara sangat terdedah kepada kejutan luar.
Kesan paling ketara dapat dilihat pada beban fiskal negara. Subsidi bahan api yang sebelum ini sekitar RM700 juta sebulan meningkat mendadak kepada lebih RM3 bilion sebulan, dengan jumlah keseluruhan subsidi mencecah RM32 bilion. Ini bermakna setiap kenaikan harga minyak di pasaran dunia diterjemahkan terus kepada tekanan kewangan kerajaan.
Harga runcit bahan api turut mengalami peningkatan. RON97 naik kepada RM4.90 seliter, manakala diesel Semenanjung meningkat kepada RM5.12 seliter. Kerajaan mengekalkan RON95 pada harga RM1.99 seliter melalui skim BUDI95 bagi melindungi pengguna daripada beban penuh harga pasaran.
Dalam masa –sama, kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan menangguhkan projek tidak kritikal, mengurangkan perbelanjaan perjalanan rasmi dan memperluaskan mesyuarat secara dalam talian. Langkah penjimatan turut melibatkan pembatalan rumah terbuka Aidilfitri peringkat kerajaan sebagai sebahagian daripada disiplin fiskal nasional.
Bagi mengurangkan impak kepada rakyat dan sektor terjejas, bantuan bersasar turut diperkukuh. Bantuan BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu dinaikkan kepada RM400 sebulan, memberi manfaat kepada lebih 350,000 penerima.
Pesawah turut menerima peningkatan Insentif Pembajakan kepada RM300 sehektar semusim, manakala RM10 bilion diperuntukkan khusus untuk menyokong sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terkesan dalam bidang pembinaan, pertanian, logistik dan pelancongan.
Walaupun tekanan meningkat, asas ekonomi Malaysia masih kekal kukuh. KDNK negara mencatat pertumbuhan 5.3 peratus pada suku pertama 2026, kadar pengangguran kekal rendah pada 3 peratus, inflasi terkawal di bawah 2 peratus dan ringgit mengukuh berbanding dolar AS.
IMF turut menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.7 peratus, menandakan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara.

RISIKO SEBENAR
Namun begitu, pakar ekonomi mengingatkan risiko sebenar bukan hanya terletak pada kenaikan harga tetapi pada potensi kejatuhan pendapatan apabila permintaan global melemah.
Tanda awal sudah kelihatan melalui pembatalan tempahan pelancongan dan penangguhan kemasukan pelajar antarabangsa, yang memberi isyarat kepada kelembapan dalam sektor tertentu.
Menghadapi situasi ini, rakyat perlu menyesuaikan diri dengan lebih berhemah. Perbelanjaan isi rumah perlu disusun semula dengan mengurangkan pembelian tidak penting, mengoptimumkan penggunaan bahan api dan meningkatkan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tiga bulan.
Peniaga dan perusahaan kecil pula digalakkan memanfaatkan bantuan kerajaan, mempelbagaikan rantaian bekalan serta beralih kepada digitalisasi bagi mengurangkan kos operasi.
Penjawat awam juga memainkan peranan penting dalam memastikan disiplin fiskal melalui pengurangan perbelanjaan tidak kritikal dan penggunaan mesyuarat dalam talian.
Pada masa sama, semua pihak perlu berhati-hati terhadap penyebaran maklumat palsu dan hanya merujuk kepada sumber rasmi seperti Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan media arus perdana.
Akhirnya, krisis di Selat Hormuz ini membuktikan dunia hari ini saling bergantung antara satu sama lain.
Walaupun jaraknya ribuan kilometer dari Malaysia, kesannya sudah pun dirasai dalam kehidupan harian rakyat.
Malaysia memasuki cabaran ini dengan asas yang kukuh, namun daya tahannya bergantung kepada disiplin dasar, kebijaksanaan pengurusan ekonomi dan kesedaran setiap rakyat.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, memahami krisis global bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan untuk memastikan negara terus kekal stabil dan bersedia menghadapi masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










