KEBANGKITAN semula nasyid dalam arus muzik kontemporari tidak wajar lagi ditafsir sebagai fenomena nostalgia yang berulang secara kitaran. Sebaliknya, perkembangan ini mencerminkan perubahan struktur yang lebih mendalam dalam ekosistem komunikasi digital, apabila dakwah tidak lagi terhad kepada institusi formal tetapi turut digerakkan melalui platform digital yang dipacu oleh algoritma, data serta tingkah laku pengguna.
Dalam landskap baharu ini, nasyid bukan sekadar medium seni dakwah berbentuk nyanyian, tetapi turut berfungsi sebagai instrumen pembentukan persepsi dalam ekonomi perhatian yang sangat kompetitif.
Perubahan ini berlaku dalam konteks dunia digital yang semakin hiperaktif, apabila nilai sesuatu kandungan ditentukan oleh tahap keterlihatan dan kadar interaksi. Platform seperti TikTok dan Instagram bukan lagi sekadar saluran penyiaran, sebaliknya bertindak sebagai penapis realiti yang menentukan kandungan mana yang layak dilihat, didengar dan akhirnya dipercayai.
Dalam situasi ini, nasyid yang gagal menyesuaikan diri dengan logik platform akan mudah terpinggir, manakala kandungan yang berjaya menembusi algoritma berpotensi menjadi tular walaupun tidak semestinya membawa kedalaman mesej.
Struktur perhatian manusia juga berubah secara drastik. Pengguna digital kini membuat keputusan untuk terus menonton atau meninggalkan sesuatu kandungan dalam tempoh yang sangat singkat. Hal ini menjadikan detik awal sesebuah karya lebih penting berbanding keseluruhan naratif.
Dalam konteks nasyid, perubahan ini mendorong pencipta untuk memberi penekanan kepada rangsangan emosi segera berbanding pembinaan makna yang berlapis. Akibatnya, berlaku peralihan daripada pendekatan reflektif kepada pendekatan reaktif, apabila muzik lebih berfungsi untuk menarik perhatian berbanding membina kesedaran mendalam.
Apabila mesej keagamaan disampaikan melalui sistem yang mengutamakan kepantasan dan sensasi, timbul persoalan sama ada yang sampai kepada pendengar adalah nilai yang mendalam atau sekadar pengalaman emosi yang bersifat sementara.
Lebih membimbangkan, algoritma platform tidak dibina untuk mengutamakan kebenaran atau kedalaman, tetapi untuk memaksimumkan masa tontonan dan penglibatan pengguna.
Dalam kerangka ini, kandungan yang dramatik, kontroversial atau visualnya kuat lebih mudah diangkat berbanding kandungan yang memerlukan renungan. Keadaan ini meletakkan nasyid dalam tekanan sistemik untuk menyesuaikan gaya penyampaian dengan kehendak platform serta citarasa generasi baharu, walaupun ia berpotensi mengubah tujuan asal dakwah itu sendiri.
Perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut mempercepatkan transformasi ini. Teknologi generatif membolehkan muzik dan visual dihasilkan dengan pantas serta berkualiti tinggi. Namun, di sebalik kemajuan ini, wujud risiko terhadap kehilangan sentuhan manusiawi dan keaslian makna. Nasyid yang dihasilkan tanpa pertimbangan kritikal boleh menjadi indah dari segi estetika tetapi kosong dari sudut jiwa dan penghayatan.
Oleh itu, penggunaan teknologi dalam dakwah perlu dipandu oleh tujuan, bukan sekadar keupayaan. Jika teknologi hanya digunakan untuk meningkatkan daya tarikan visual tanpa memperkukuh mesej, proses komodifikasi spiritualiti akan berlaku secara halus. Dakwah akhirnya berisiko berubah menjadi produk yang dioptimumkan untuk algoritma, bukan lagi medium yang membimbing manusia kepada makna.
Krisis keaslian dalam dunia digital turut memberi kesan besar terhadap perkembangan nasyid. Generasi muda kini lebih menghargai kandungan yang jujur, autentik dan tidak berlebihan dalam produksi. Kepercayaan mereka terhadap pencipta lebih bergantung kepada persepsi keaslian berbanding kualiti teknikal semata-mata.
Keadaan ini menuntut pendekatan baharu. Artis nasyid tidak lagi boleh bergantung kepada simbolisme agama atau estetika tradisional semata-mata, sebaliknya perlu membina hubungan berasaskan kejujuran, keterbukaan dan sisi kemanusiaan. Dakwah juga perlu bergerak daripada komunikasi satu hala kepada komunikasi dua hala yang lebih empati dan interaktif.
Selain itu, kandungan nasyid perlu berkembang selari dengan realiti semasa yang kompleks, termasuk isu kesihatan mental, ketidaksamaan sosial, perubahan iklim dan krisis identiti digital. Tanpa kaitan dengan realiti ini, nasyid akan kehilangan relevansi dalam kalangan generasi muda.
Nasyid berpotensi menjadi medium yang menghubungkan manusia dengan makna yang lebih tinggi, asalkan ia terus mengekalkan keseimbangan antara inovasi dan integriti, antara teknologi dan keikhlasan serta antara keterlihatan dan kebenaran.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & HUZAIMI ZAINI
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & ahli kumpulan Nowseeheart










