Lambakan pasir sungai dikhuatiri beri kesan buruk

Lambakan pasir sungai dikhuatiri beri kesan buruk

MOHD. FAKHRUL AKHMAL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Lambakan pasir sungai terdapat di negeri ini perlu di­urus dan dimobilisasikan dengan baik bagi mengelak kesan buruk terhadap alam sekitar pada masa depan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi pengambilan pasir sungai khususnya di daerah ini mendapati, tiada sebarang aktiviti berlangsung dan kelihatan ‘bukit’ pasir meninggi di beberapa kawasan tebing sungai.

Keadaan itu jika dibiar terlalu lama bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah dibimbangi menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, negeri perlu menguruskan lambakan pasir yang ada ketika ini secara berkesan dan berhemah.

“Saya percaya kalau berlarutan lambakan pasir ini tidak dapat dimobilis ke mana-mana, maka impak alam sekitar yang lebih teruk terjadi. Sebarang kesan negatif daripada aktiviti perlombongan pasir masih boleh dikawal menerusi pemantauan dan penguatkuasaan berterusan oleh agensi berkaitan,” katanya.

Sekatan terhadap aktiviti eks­port pasir juga dikhuatiri memberi kesan kepada peluang pekerjaan penduduk tempatan memandang­kan kebanyakan te­naga kerja di pusat perlombongan pasir terdiri daripada rakyat negeri ini.

Sementara itu, seorang pengusaha pasir, Muhammad Ammirul Asraf Abdul Wahab berkata, aktiviti pengambilan pasir sungai secara terkawal membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan sungai.

“Bila sungai lebih dalam dan aliran air lebih baik, lebih banyak ikan dan udang masuk ke kawasan sungai. Secara tidak langsung ia membantu nelayan. Kalau sungai terlalu cetek, aliran air terganggu dan boleh menyebabkan limpahan ketika hujan lebat,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya hampir 10 tahun dalam industri itu, kerja pengorekan pasir sebenarnya turut membantu memulihkan ali­ran sungai terutama di kawasan cetek akibat mendapan pasir.

Katanya, tanggapan bahawa semua aktiviti pengambilan pasir membawa kesan buruk terhadap alam sekitar juga tidak tepat ke­rana operasi dijalankan mengikut syarat dan kawasan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, setiap lokasi pengambilan pasir perlu melalui kajian teknikal, lawatan tapak serta kelulusan beberapa agensi sebelum sesuatu plot diluluskan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Muhammad Ammirul berkata, kerja pengambilan pasir juga tidak dilakukan terlalu hampir dengan tebing sungai bagi mengelakkan risiko kerosakan atau runtuhan benteng.

“Operasi pengambilan pasir bagi kegunaan domestik di negeri ini masih berjalan seperti biasa dan tidak terlibat dengan sekatan permit eksport pasir oleh kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat isu kerosakan jalan akibat pergerakan lori membawa pasir namun pengusaha diwajibkan menyediakan deposit penyelenggaraan bagi kerja pembaikan dilakukan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini