PETALING JAYA: Keputusan menyimpan basikal baharu kitaran Sukan Olimpik Paris 2024 oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk digunakan hanya pada temasya besar menimbulkan persoalan mengenai pendekatan strategi negara dalam mengejar kelebihan teknologi di pentas antarabangsa.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu mengesahkan beliau masih menggunakan basikal WX-R Vorteq model lama ketika Olimpik Tokyo 2020 sepanjang siri Piala Dunia Trek musim ini walaupun memiliki versi terkini yang dibangunkan khusus untuk kitaran Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan sebab untuk tidak menggunakannya adalah kerana mahu pilih untuk beraksi pada Sukan Komanwel di Glasgow pada Julai dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada September ini.
“Ramai tanya kenapa saya tidak guna basikal Paris 2024, tetapi saya pilih untuk simpan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti.
“Saya rasa saya ada satu basikal utama dan satu basikal simpanan tetapi saya simpan untuk temasya tersebut,” kata Azizulhasni.
Keputusan itu secara tidak langsung memperlihatkan pendekatan berhati-hati kem negara dalam menguruskan aset bernilai tinggi yang dianggarkan berharga RM385,000 seunit, selain dibangunkan dengan kos keseluruhan RM7.5 juta.
Namun dalam konteks persaingan elit dunia, tindakan tersebut turut membuka ruang perdebatan sama ada Malaysia sedang melepaskan kelebihan kelebihan marginal yang menjadi faktor penentu dalam perlumbaan berintensiti tinggi.
Ini kerana negara kuasa besar berbasikal dilihat tidak berkompromi dalam penggunaan peralatan terbaik mereka di setiap kejohanan utama sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan prestasi berterusan.
Walaupun begitu, Azizulhasni tetap membuktikan kemampuan luar biasa apabila meraih dua emas keirin serta dua gangsa pecut individu Siri Piala Dunia Trek musim ini meskipun menggunakan peralatan lama. – UTUSAN










