ADA sesuatu yang berbeza dalam sambutan ulang tahun UMNO baru-baru ini.
Sebagai Ahli Majlis Tertinggi, saya turut berada di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, lokasi penganjuran Konvensyen Ulang Tahun UMNO Ke-80 yang selama ini dianggap sebagai command centre UMNO.
Ribuan ahli hadir dengan semangat yang berkobar-kobar untuk sama-sama memaknakan ulang tahun kelahiran UMNO.

Bagi ahli-ahli, tahun ini dan tahun-tahun mendekat ini pastinya cukup penting untuk UMNO.
Wajah-wajah yang hadir membawa satu perasaan yang lebih dalam, perasaan yang merasai jerih perih perjuangan, sakitnya bahana kekalahan, terduduk, dihina dan dipersenda. Dan keinginan untuk bangkit.
Kemudian, kepimpinan tertinggi parti melangkah ke Istana Besar Johor pada 11 Mei, ketika UMNO genap menginjak usia 80 tahun.
Dalam suasana penuh adat dan sejarah, ramai yang melihatnya sekadar acara simbolik, sedangkan ia membawa pesan bahawa UMNO itu belum berhenti berjuang.
Bagi mereka yang memahami denyut nadi politik Melayu, konvensyen bersejarah di WTC dan ke langkah ke Istana Besar Johor sebenarnya membawa makna yang jauh lebih besar.
Ia membayangkan perjalanan sebuah parti yang sedang menyusun langkah untuk menggilap semula identitinya supaya bangkit dengan lebih matang dan tersusun.
Langkah ini disusun dengan kesedaran bahawa UMNO hari ini bukan lagi UMNO yang dahulu.
Dahulu, UMNO bergerak dengan megah sebagai parti yang lama selesa di puncak kuasa. Hari ini, UMNO bergerak dengan luka, pengalaman dan kesedaran baharu bahawa kuasa boleh hilang dalam sekelip mata.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi titik paling hitam dalam sejarah parti. Ramai meramalkan nyawa UMNO sudah berada di penghujung.
Ada yang mentertawakan. Ada yang sinis dengan ejekan UMNO sudah sedia dikafankan. Malah ada yang tergamak meninggalkan kapal ketika ombak sedang ganas; sementelah anak-anak kapal dibiarkan terkapai-kapai dan hilang punca.
Tetapi sejarah politik sering membuktikan bahawa parti yang mempunyai akar paling dalam biasanya tidak mati semudah itu.
Bagi saya, mungkin juga bagi ramai orang, UMNO bukan hanya sebuah organisasi politik. Dengan sejarah panjangnya, UMNO ibarat penyimpan memori bangsa Melayu moden.
Di dalam sejarahnya ada cerita kemerdekaan, pembangunan luar bandar, pendidikan anak kampung, pembinaan institusi Melayu, pembukaan Felda, biasiswa, universiti, jalan kampung dan pelbagai lagi kisah jatuh bangun rakyat biasa.
Sebab itu walaupun dihentam bertalu-talu, UMNO masih mempunyai satu kelebihan besar yang sukar dinafikan lawan, keteguhan akar umbinya.
Dan akar umbi itulah yang sedang perlahan-lahan menghidupkan semula denyut perjuangan UMNO.
Konvensyen di WTC baru-baru ini memperlihatkan sesuatu yang menyentak kesedaran bahawa nostalgia semata-mata tidak lagi cukup untuk memenangkan UMNO dalam pilihan raya.
Rakyat hari ini tidak mahu mendengar retorik kosong mengenai sejarah semata-mata. Mereka mahu melihat kemampuan menyelesaikan masalah kehidupan sebenar, pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan anak-anak dan kestabilan negara.
Ini cabaran terbesar UMNO menjelang PRU akan datang.
UMNO bukan sahaja perlu melawan musuh politik, tetapi juga perlu melawan persepsi, sinisme dan rasa kecewa sebahagian rakyat terhadap politik lapuk yang menjengkelkan.
UMNO juga terpaksa bergerak dalam keadaan politik baharu yang jauh lebih rumit.
Dulu pertandingan politik banyak berkisar kepada soal pembangunan dan pengaruh parti. Hari ini politik bergerak terlalu pantas melalui media sosial, emosi, persepsi dan serangan tanpa henti di alam maya.
Kadangkala satu klip video 30 saat mampu memadam penjelasan berjam-jam.
Dalam dunia politik baharu ini, UMNO tidak lagi boleh bergantung kepada formula lama.
Namun di sebalik semua cabaran itu, ada beberapa petanda yang mula memberikan nafas baharu kepada UMNO.
Pertama, rakyat sebenarnya semakin letih dengan politik terlalu ekstrem dan penuh kebencian.
Mereka mahu kestabilan. Mereka mahu kerajaan yang boleh bekerja. Mereka mahu pemimpin yang tidak setiap hari bertelagah sehingga menjejaskan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Di sinilah UMNO mula dilihat kembali mempunyai nilai. Di sinilah UMNO mampu memancarkan kekuatan sebenarnya.
Pengalaman panjang mengurus kerajaan dan memimpin kestabilan menjadikan UMNO lebih memahami realiti pentadbiran berbanding bermain slogan populis.
Kedua, UMNO masih mempunyai jentera paling tersusun di negara ini.
Ketika ramai parti bergantung kepada gelombang media sosial, UMNO masih memiliki kekuatan organisasi hingga ke akar kampung.
Cawangan-cawangan kecil yang mungkin kelihatan sunyi di mata media sebenarnya masih hidup dan bergerak.
Dalam politik Malaysia, kekuatan seperti ini tidak boleh dipandang kecil.
Ketiga, UMNO sedang melalui proses pematangan politik yang sangat mahal harganya.
Kekalahan, perpecahan dan tekanan bertahun-tahun memaksa parti itu belajar mengenai erti rendah diri, kerjasama dan realiti politik pelbagai kaum dalam negara yang semakin kompleks.
Sebab itu, ramai pemerhati melihat perjalanan UMNO hari ini seperti seorang pejuang lama yang sedang belajar berjalan semula selepas jatuh.
Langkahnya mungkin perlahan. Kadangkala tempang. Kadangkala masih dipersoalkan. Tetapi hakikatnya, UMNO belum berhenti berjalan.
Sambutan ulang tahun ke-80 di Istana Besar Johor membawa simbol yang cukup mendalam dalam konteks ini.
UMNO dan institusi raja Melayu tidak pernah boleh dipisahkan daripada sejarah pembentukan negara ini. Hubungan itu bukan semata-mata protokol politik, tetapi sebahagian daripada sejarah panjang pembinaan identiti negara bangsa.
Ketika ramai parti muncul dan tenggelam mengikut musim politik, UMNO masih berdiri sebagai salah satu tiang besar dalam sejarah moden Malaysia.
Namun, sejarah sahaja tidak akan memenangkan pilihan raya.
UMNO perlu membuktikan bahawa parti itu bukan hanya relevan untuk dikenang, tetapi juga relevan untuk masa depan.
Maka PRU akan datang bakal menjadi ujian besar.
Ia bukan hanya ujian terhadap kekuatan UMNO sebagai sebuah parti, tetapi ujian sama ada UMNO benar-benar belajar daripada kejatuhannya sendiri.
Jika UMNO berjaya memahami perubahan generasi muda, memperbaiki kelemahan lama, mengembalikan keyakinan rakyat serta menawarkan kestabilan dalam suasana politik yang semakin bercelaru, UMNO mempunyai peluang untuk bangkit semula dengan lebih matang.
Tetapi jika parti kembali terperangkap dalam keangkuhan lama dan pertelagahan dalaman, sejarah mungkin tidak akan memberi peluang kedua untuk tempoh yang lama.
Dari WTC ke Istana Besar Johor, perjalanan ini sebenarnya menandakan perjuangan yang belum selesai.
Ia baru permulaan kepada satu pertarungan yang jauh lebih besar.
Selepas 80 tahun, perjuangan UMNO kini memasuki satu lagi fasa baharu, bukan lagi perjuangan sebuah parti yang terlalu selesa dengan kuasa.
Tetapi perjuangan sebuah parti yang sedang diuji oleh zaman dan sedang berusaha membuktikan bahawa perjuangan itu masih diperlukan rakyat dan negara. – UTUSAN
DATUK Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, Ahli Majlis Tertinggi UMNO.










