KANGAR: Meskipun harga belian padi di Malaysia antara yang tertinggi di Asia Tenggara, pesawah di negara ini masih hidup tertekan.
Ia bukan disebabkan faktor harga belian padi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada keseluruhan rantaian ekonomi sektor itu yang lebih banyak menguntungkan orang tengah, pembekal input dan sistem monopoli.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, faktor atau masalah utama adalah seperti kos pengeluaran terlalu tinggi merangkumi baja, racun, benih, upah mesin, diesel, sewa tanah dan kos membajak yang meningkat mendadak setiap kali musim tanaman.
Katanya, jika harga padi naik sekalipun, kos tetap meningkat berkali ganda yang akhirnya menyebabkan untung bersih pesawah semakin mengecil.
Beliau berkata, selain itu, masalah struktur monopoli dan kartel dengan pesawah menjual hasil mentah tetapi keuntungan besar hanya berlaku pada proses kilang, import, pemborongan dan runcit beras.
“Pesawah kerja paling berat, tetapi margin terbesar dinikmati pemain tengah dalam rantaian industri berkenaan. Antara lain, majoriti pesawah juga bukan tuan tanah dengan ramai hanya menyewa tanah mengusahakan sawah.
“Hasil jualan padi itu pula perlu bahagi dengan tuan tanah, bayar hutang input dan kos operasi yang akhirnya tinggal baki sangat sedikit untuk sara hidup para pesawah yang menyewa itu.
“Selain itu, saiz sawah terlalu kecil dengan kebanyakan pesawah hanya mengusahakan sekitar satu hingga tiga hektar sahaja. Dengan keluasan kecil itu, hasil tidak cukup untuk menjadi pendapatan bulanan yang stabil.
“Lebih malang, apabila musim padi rosak atau banjir, terus lumpuh. Pesawah juga berdepan hutang dari musim ke musim dengan ramai terpaksa berhutang untuk input sebelum menanam. Bila hasil dituai, duit terus habis bayar hutang kedai, pembekal atau pinjaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, golongan pesawah di negara ini masih menikmati harga belian padi lebih tinggi berbanding kebanyakan negara Asia Tenggara lain.
Malah, harga lantai belian padi RM1,500 per tan metrik termasuk subsidi sehingga RM2,000 adalah lebih tinggi berbanding Thailand dan Vietnam, meskipun kedua-kedua negara itu ialah pengeksport besar, selain memiliki teknologi industri padi lebih maju.
Mohd. Shazwan berkata, pihaknya tidak melihat subsidi boleh menyelesaikan masalah yang telah berakar umbi itu.
Katanya, bantuan secara sekali bayar (one-off) seperti RM200 atau RM300 disifatkan hanya mampu menampal luka sementara. – UTUSAN











