
SETIAP kali musim haji tiba, perhatian dunia tertumpu ke Mekah apabila di sebalik jutaan manusia berkumpul, sebenarnya ia membabitkan satu operasi pengurusan manusia berskala besar dan kompleks.
Cabaran itu semakin bertambah bukan sahaja membabitkan soal kehadiran jutaan jemaah tetapi keluar masuk orang ramai pada setiap masa di Masjidil Haram dan perjalanan Hari Wukuf di Arafah.
Keadaan tersebut menuntut pelbagai pembaharuan dilakukan seiring perkembangan teknologi dan perubahan zaman bagi memudahkan pergerakan keluar masuk jutaan jemaah.
Jika dahulu, urusan dokumentasi dilakukan secara manual sebaliknya kini secara dalam talian dan tanpa beratur panjang di kaunter imigresen dan Tabung Haji (TH).
Selain MyNIISe dan MyBorder, aplikasi kad Nusuk diperkenalkan di mana jemaah boleh memuat turun aplikasi berkenaan di telefon bimbit untuk memudahkan mereka dapat mengakses maklumat permit ibadah secara lebih mudah.
Perkara itu belum lagi mengambil kira pelbagai pembaharuan di lokasi Hari Kemuncak Haji apabila sistem pengurusan pergerakan jemaah dan penyelarasan logistik kini semakin bergantung kepada penggunaan teknologi.
Pada masa sama, kemudahan pengangkutan awam termasuk rangkaian tren dan bas khas haji yang diselaraskan secara lebih sistematik untuk mempercepat pergerakan jutaan jemaah antara Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Dalam masa sama, penggunaan kecerdasan buatan (AI) mula diterapkan khususnya dalam menjawab persoalan ibadah melalui platform rasmi e‑TAIB yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan kekeliruan hukum akibat perbezaan pandangan mazhab.
Pada masa sama, media sosial mengubah wajah pengalaman haji apabila jika dahulu perjalanan haji bersifat lebih peribadi dan spiritual, kini banyak perkongsian dibuat secara langsung di platform digital.
Meskipun yang melihatnya sebagai medium perkongsian ilmu, namun tidak kurang juga yang bimbang nilai keikhlasan ibadah boleh terjejas apabila terlalu mengejar kandungan media sosial.
Apa yang pasti, ibadah haji hari ini bukan lagi sekadar perjalanan spiritual semata-mata, sebaliknya bagaimana menjadi gambaran umat Islam dunia bergerak sebagai satu komuniti besar yang memerlukan disiplin dan pengurusan moden bagi memastikan jutaan manusia dapat beribadah dengan selamat dan sempurna.
Namun dalam konteks Malaysia, sistem pengurusan haji sering dianggap antara terbaik di dunia melalui peranan TH yang bukan sahaja mengurus kewangan, tetapi menyediakan ekosistem lengkap.
Pendekatan itu membuktikan pengurusan haji masa kini tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring perkembangan teknologi dan keperluan generasi baharu jemaah Islam seluruh dunia. – UTUSAN










