KECIL, praktikal. Seperkara yang memberi kesan kepada saya sepanjang tiga minggu bersama Kencana Sport untuk ditunggang uji adalah ia memudahkan pelbagai urusan harian.
Nak ke lokasi tugasan, beli barang dapur di pasar raya, solat Jumaat di masjid malah lepak dengan geng di kedai mamak, semuanya berjalan lancar. Hampir 600 kilometer (km) saya tunggang ke macam-macam bentuk laluan termasuk lebuh raya, jalan kampung, lorong kecil, kesesakan teruk dalam bandar, tiada masalah.
Senang cerita, saya tidak perlu ragu-ragu nak buat apa atau ke mana-mana dengan kapcai keluaran Afaz ini. Dengan ketinggian tempat duduk 760 milimeter (mm), jarak roda 1,220 mm dan kelegaan lantai 145 mm, motosikal ini mudah dikendalikan.
Beratnya cuma 100 kilogram (kg). Jadi, yang baru belajar naik motosikal pasti mudah nak kawal.
Ia dilengkapi casis yang dipertingkatkan sekali gus menawarkan kestabilan, kawalan dan keyakinan tunggangan lebih baik. Reka bentuknya menitikberatkan aspek keselamatan dan keselesaan sesuai untuk tunggangan harian sama ada pada waktu siang mahupun malam.
Apa yang lebih meyakinkan, Kencana Sport menggunakan teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan serta prestasinya. Berkapasiti 113 cc satu silinder dengan aci sesondol single cam 4-lejang, ia menghasilkan 9.1 kuasa kuda (hp) pada 7,500 putaran seminit (rpm) dengan tork 9.0 Newton meter (Nm) pada 6,500 rpm.
Ternyata ia bukanlah untuk mereka yang berjiwa kelajuan. Dengan berat badan saya lebih 80 kg, tak berupaya pun nak cecah 110 km/jam!
Namun, pada kelajuan antara 90 hingga 100 km/jam, saya dapati enjinnya cukup lancar, senyap. Pada kelajuan sebelum-sebelum ini, saya tidak dapat alami keadaan enjin sedemikian.
Harganya pun cuma RM5,799. Sesuailah dengan sasaran pelanggannya iaitu mereka yang memerlukan motosikal praktikal, selamat, jimat bahan api dan mampu milik khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan pasaran massa.

Walaupun harga marhaen, ciri-ciri yang ada padanya banyak yang premium. Jentera asas dua roda ini tetap menampilkan ciri-ciri teknologi masa kini seperti enjin Euro 4 yang lebih cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi selaras dengan keperluan piawaian semasa dan masa hadapan; suntikan bahan api; lampu nyalaan siang (DRL); lampu diod pancaran cahaya (LED); mudah dihidupkan dan cekap tenaga (EEV).
Jadi, bukan koman punya kapcai, ya! Juga dilengkapi penyerap hentak belakang berprestasi tinggi jenis KYB (Kayaba Industry Co. Ltd.) dan brek depan Nissin, juga dari Jepun.
Kapasiti tangki bahan api juga agak besar, iaitu 4.2 liter. Dapatlah saya tunggang sejauh kira-kira 150 hingga 160 kilometer sebelum mengisi semula petrol.
Dari segi reka bentuk, ia nampak sporty. Marka pun tak segan nak bonceng!
Hanya satu perkara yang saya tidak selesa, iaitu pemijak gear kerana hujung bahagian depan kaki terpaksa tekan agak jauh ke bawah. Tidak pasti sama ada ada saya seorang sahaja penunggang yang berasa kekok sedemikian.
Kencana Sport didatangkan dalam dua warna menarik serta garang iaitu Delima Red (merah) dan Laguna Blue (biru).
Apa yang penting, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan Kencana Sport kerana ia merupakan motosikal kedua negara. Ia keluarkan oleh KMSB Motors Sdn. Bhd. (KMSB), 100 peratus milik bumiputera.
KMSB bukan baharu dalam industri permotoran. Ia telah melalui beberapa perubahan nama dan pegangan saham sambil mengekalkan lesen pembuatan asal serta nombor syarikat asal.
Pada 1975, ia didaftarkan sebagai Dan Motors Sdn. Bhd., kemudian Kawamotors Sdn. Bhd. (1984), diikuti Kawasaki Sunrock Sdn. Bhd. (1987). Pada 1995, bermula pembabitan mereka dalam pengeluaran motosikal nasional pertama di mana model Kawasaki Max 110 ditukar menjadi Modenas Kriss 110.
Mulai 1998, ia terpaksa mengecilkan dan menstruktur semula kilangnya di Pelabuhan Klang. Tenaga kerja terasnya adalah menumpukan kepada pembangunan perniagaan motosikal besar melalui import (CBU) sahaja.

Pada 2007, namanya ditukar kepada Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. dan operasi pemasangan tempatan (CKD) disambung semula di Glenmarie, Shah Alam. Pada 2021 dinamakan KMSB dan tidak lagi mengedar motosikal Kawasaki sebaliknya bertindak sebagai pengeluar kontrak, memasang pelbagai model Suzuki.
Bagaimanapun, KMSB berdepan beberapa cabaran, antaranya model Suzuki yang tersedia tidak memenuhi kriteria pasaran tempatan. Sesetengah model tidak mematuhi standard Euro dan tidak dibenarkan dijual di negara ini.
Selain itu, terdapat pergantungan tinggi pada model Suzuki yang dibangunkan untuk pasaran India berikutan saiz pasaran. Akhirnya, model berfokus ASEAN secara beransur-ansur dihentikan.
Pada 2022, satu inisiatif jangka panjang negara bermula dengan pelaksanaan Pembuatan Automotif 2 (AM-2), iaitu satu kerangka dasar strategik bertujuan memperkukuh ekosistem automotif tempatan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh. Dengan bantuan institusi utama kerajaan, KMSB telah mencipta peta hala tuju untuk mencapai matlamat projek.
Pada 2023, KMSB memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation merangkumi kerjasama teknikal dan kejuruteraan, pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran industri serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan mampan.
Dalam taklimat kepada media oleh KMSB baru-baru ini, diberitahu bahawa perkataan
‘Afaz’ merupakan akronim nama Ahmad Faez Yahaya, iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan KMSB manakala ‘Kencana’ bermaksud emas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia kemudiannya, Ahmad Faez berkata, Afaz mempunyai pelan jangka pertengahan lima tahun dan jangka panjang 10 tahun.
“Sekarang adalah tahun kedua iaitu peringkat pengkomersialan dan kita berada pada landasan yang betul. Matlamat jangka panjang adalah eksport sebab kita kena sokong pelaburan yang dibuat.
“Satu-satu caranya adalah dengan meningkatkan pengeluaran. Untuk itu, kita kena luaskan pasaran iaitu selain Malaysia adalah ASEAN contohnya,” jelasnya.
Menurutnya, KMSB sedang berbincang dengan Thailand bagi memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh negara tersebut bagi semua jenis motosikal yang mahu dibawa masuk. Bagaimanapun, Thailand baru memperkenalkan peraturan-peraturan baharu seperti mewajibkan adanya sistem brek antikunci (ABS) atau sistem brek bersama (CBS).
“Kencana Sport tiada sistem brek sebegini tapi kita sedang bangunkan CBS untuk model ini bagi pasaran Thailand.
“Insya-Allah, dalam suku pertama 2027 kita akan eksport Kencana Sport,” katanya.
Penghasilan Kencana Sport melibatkan 26 jurutera dan pereka bentuk tempatan dari Amitec Technology Sdn. Bhd. (Amitec) yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam kajian dan pembangunan (R&D). Kepakaran mereka termasuk reka bentuk produk, kejuruteraan, pengesahan teknikal dan sokongan pembangunan untuk pengeluaran besar-besaran.
Selain itu, projek pengeluaran Kencana Sport turut melahirkan 24 vendor tempatan yang menghasilkan 424 komponen. Komponen-komponen tersebut adalah plastik, logam, fungsian, elektrikal, tuangan, getah serta spring dan pengikat.
Akhir kata, kepada yang masih ‘pening’ nak buat keputusan kapcai mana satu nak beli, Kencana Sport mungkin pilihan tepat untuk mereka. Lagipun, perkataan ‘Negaraku’ pada badan Kencana Sport mampu menerbitkan rasa patriotik dalam diri! – UTUSAN









