Mohd. Daud hadapi 7 lagi tuduhan seleweng RM10 juta

Mohd. Daud hadapi 7 lagi tuduhan seleweng RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tokoh kewa­ngan Islam yang juga bekas Pe­nge­rusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Ba­kar akan menghadapi tujuh lagi tuduhan di Mahkamah Se­syen Kuala Lumpur hari ini.

Satu sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, pertuduhan hari ini membabitkan kes berlainan yang disiasat SPRM atas tujuh pertuduhan penyelewe­ngan melibatkan nilai RM10 juta.

Katanya, Mohd. Daud akan didakwa pada pukul 8.30 pagi di mahkamah berkenaan bersama seorang rakan kongsinya.

Turut akan didakwa di mah­kamah sama ialah bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Pertuduhan membabitkan lelaki terbabit dibuat berhubung kes rasuah perolehan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada 14 November 2024.

Pada 23 Februari lalu, Mohd. Daud dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas dakwaan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.

Mohd. Daud didakwa selaku wakil syarikat aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, bersubahat dengan AUF MBZ apabila AUF MBZ menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti.

Sedangkan AUF MBZ bukan seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan berdaftar bagi aktiviti terkawal, iaitu berniaga dalam sekuriti, di mana kesalahan AUF MBZ dilakukan akibat persubahatan Energy Eco.

Mohd. Daud dengan itu sebagai wakil Energy Eco ketika berlakunya kesalahan berkenaan, disifatkan melakukan kesalahan terbabit.

Ia didakwa melakukan kesa­la­han itu, di C6-1, Jalan Reef ½, Pusat Perniagaan Reef, Rawang, dalam Daerah Gombak, antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama perenggan 370(c) dan Seksyen 367(1) Aktasama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 58(4), akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan terdapat pertuduhan terhadap Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini.

Rafizi sebelum ini dipanggil bagi dirakam keterangan oleh ini berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari United Kingdom (UK).

“Mana ada,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×