PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui prestasi semasa pasukan kuadran negara masih belum cukup ampuh menjelang kempen Piala Dunia Sepaktakraw 2026 yang bakal membuka tirai Sabtu depan di Stadium Titiwangsa.
Jurulatih berpengalaman itu menegaskan, meskipun terdapat sedikit peningkatan dalam persembahan pemain, namun masih perlu memperkemaskan beberapa aspek penting terutama dari aspek disiplin permainan serta corak lebih dinamik bagi menghadapi cabaran di pentas dunia.
“Kalau ikut daripada segi prestasi semasa, ada sedikit peningkatan khususnya bagi acara kuadran. Namun ia masih belum cukup ampuh untuk pasukan kuadran kita.
“Masa berbaki kurang 10 hari ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi latihan intensif supaya pasukan menjadi lebih berdisiplin dan dinamik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Ahmad Jais memaklumkan aksi ujian menentang Thailand di Bangkok terpaksa ditangguhkan susulan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, keputusan itu memaksa barisan kejurulatihan memberi tumpuan penuh terhadap persiapan dalam negara sebelum bermulanya kejohanan berprestij tersebut.
“Untuk aksi ujian di Bangkok, kita terpaksa tangguhkan kerana ada beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Jadi kita fokus kepada persiapan dalam negara dan mengadakan beberapa test match bersama pasukan tempatan sebelum Piala Dunia berlangsung Sabtu depan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata fokus utama pasukan kuadran ketika ini tertumpu kepada aspek serangan dan pertahanan yang dianggap sebagai elemen paling penting dalam acara tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persiapan bagi acara regu dan berpasukan tidak pernah diketepikan kerana skuad negara bertekad untuk mempamerkan aksi lebih baik berbanding edisi terdahulu.
“Bagi acara regu dan berpasukan, kita tetap teruskan persiapan kerana kita mahu tampil lebih baik berbanding Piala Dunia sebelum ini.
“Kita harap semua pemain memberikan komitmen tinggi untuk cuba mencapai kejayaan pada edisi Piala Dunia 2026,” katanya. – UTUSAN











