Harimau Malaya ada keupayaan julang Piala ASEAN FIFA

Harimau Malaya ada keupayaan julang Piala ASEAN FIFA

Paulo Josue yakin skuad kendalian Peter Cklamovski mempunyai peluang cerah mencipta kejutan di Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue menyifatkan skuad kendalian Peter Cklamovski mempunyai peluang cerah mencipta kejutan di pentas Asia Tenggara selepas gagal ke pusingan akhir Piala Asia susulan tindakan yang dikenakan berhubung isu pemain warisan.

Menurut pemain Kuala Lumpur (KL) City FC itu, Malaysia memiliki keupayaan untuk bersaing dalam Piala AFF yang akan membuka tirai Julai ini serta Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berada dalam kalendar rasmi badan induk dunia itu.

“Saya fikir ini kejohanan yang hebat. Ia peluang besar untuk Malaysia menjulang trofi. Kita tahu kita mampu bersaing dengan pasukan Asia Tenggara. Kita pernah buktikan sebelum ini,” katanya.

Paulo berkata, persiapan rapi serta pemilihan pemain terbaik negara oleh Cklamovski menjadi kunci utama untuk memastikan Harimau Malaya mampu memberikan saingan di pentas antarabangsa.

“Jika kita bersedia dengan baik dan membawa pemain terbaik, kita boleh cuba capai sesuatu yang besar untuk negara. Penyokong juga sudah lama menantikan detik seperti ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik kemungkinan skuad negara menampilkan gabungan pemain muda dan senior, menyifatkannya sebagai proses penting dalam pembangunan pasukan kebangsaan.

“Bagi saya, ia sentiasa satu keseronokan membantu pemain muda. Kita boleh bantu dari segi pergerakan, fizikal dan pengalaman. Saya di sini untuk bantu apa sahaja yang diperlukan,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya ketika mula bersama skuad kebangsaan, Paulo mengakui ramai pemain senior banyak memberi tunjuk ajar melalui disiplin dan kerja keras di atas padang.

“Nasihat mereka mudah jangan leka, sentiasa bersedia dan bekerja keras setiap hari. Itu cara untuk dapat hormat dalam pasukan,” katanya lagi.
Sebanyak 11 negara anggota rantau ini di bawah naungan Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF), sekali gus mencerminkan kesungguhan badan induk itu dalam memperkukuh pembangunan bola sepak serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×