WASHINGTON: Tindakan Presiden Donald Trump menghentikan Projek Pembebasan yang bermula 4 Mei lalu untuk mengiringi kapal keluar dari Selat Hormuz dibuat selepas Arab Saudi tidak membenarkan Pangkalan Udara Prince Sultan, tenggara Riyadh digunakan untuk menyokong operasi itu.
Menurut dua pegawai Amerika Syarikat (AS), Trump mengejutkan sekutu negara Teluk apabila mengumumkan misi projek itu di media sosial pada Ahad petang sehingga menimbulkan kemarahan kepimpinan di Riyadh.
“Sebagai tindak balas, Arab Saudi memaklumkan tidak akan membenarkan tentera AS menerbangkan pesawat dari Pangkalan Udara Prince Sultan atau menggunakan ruang udaranya bagi menyokong operasi tersebut.
“Panggilan telefon antara Trump dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman juga gagal menyelesaikan isu itu, memaksa beliau menangguhkan Projek Pembebasan untuk memulihkan akses ketenteraan AS ke ruang udara kritikal tersebut,” kata mereka..
KEPUTUSAN MENGEJUT
Sekutu rapat Teluk lain turut terkejut dengan pengumuman itu.Trump dilaporkan hanya bercakap dengan pemimpin Qatar selepas operasi berkenaan dimulakan.
Sumber Arab Saudi memberitahu NBC News, Trump dan Putera Mohammed kerap berhubung. Beberapa pegawai Arab Saudi juga berhubung dengan Trump, Naib Presiden AS, JD Vance, Markas Pusat AS (CENTCOM) dan Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio, tambah sumber itu.
Sumber tersebut berkata, Arab Saudi sangat menyokong usaha diplomatik oleh Pakistan untuk menjadi perantara perjanjian antara Iran dan AS bagi menamatkan perang.
Menurut pegawai Rumah Putih, sekutu serantau sudah dimaklumkan lebih awal apabila ditanya mengenai dakwaan beberapa pemimpin negara Teluk berasa terkejut dengan operasi AS bagi membantu kapal melalui Selat Hormuz.
OPERASI
Seorang diplomat Asia Barat berkata, AS tidak menyelaras Projek Pembebasan dengan Oman sehingga selepas Trump membuat pengumuman itu.
Trump mengumumkan operasi itu pada hujung minggu sebagai usaha memecahkan sekatan Iran di Selat Hormuz dan pemimpin keselamatan negaranya mempromosikan operasi tersebut sepanjang Selasa lalu dalam taklimat awam di Pentagon dan Rumah Putih.
Namun, presiden secara tiba-tiba menghentikan operasi itu kira-kira 36 jam selepas ia bermula.
Seorang pegawai AS berkata, tentera negara itu sedang menyusun beberapa kapal tambahan di Teluk untuk transit melalui selat tersebut sebelum operasi dihentikan.
Sebelum itu, CENTCOM mengumumkan dua kapal berbendera AS berjaya melalui selat itu sebagai sebahagian daripada usaha Projek Pembebasan.
Dalam hantaran media sosialnya, Trump berkata, Projek Pembebasan akan ditangguhkan untuk tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian menamatkan perang boleh dimuktamadkan dan ditandatangani.
Tentera AS menempatkan pesawat-pesawat pejuang, pesawat pengisi minyak udara dan sistem pertahanan udara di Pangkalan Udara Prince Sultan.
Arab Saudi sebelum ini membenarkan AS menerbangkan pesawat dari pangkalan itu bagi menyokong perang di Iran, selain membenarkan pesawat dari negara jiran menggunakan ruang udaranya.
“Oleh kerana faktor geografi, anda memerlukan kerjasama rakan serantau untuk menggunakan ruang udara di sepanjang sempadan mereka. Dalam beberapa keadaan, tiada laluan alternatif lain. Pesawat tentera penting untuk melindungi kapal semasa Projek Pembebasan dengan menyediakan perlindungan pertahanan udara,” kata pegawai AS.
Projek Pembebasan itu sebelum ini menyediakan pengawasan ketenteraan AS, kuasa tembakan dan anggota keselamatan di atas kapal. Ia adalah supaya kapal dapat keluar dengan selamat dari Teluk Parsi melalui Selat Hormuz. Pegawai Pentagon berkata, operasi itu berasingan daripada kempen pengeboman yang bermula pada 28 Februari dan dinamakan Operasi Kemarahan Epik.
RUNDINGAN SEMINGGU
Pentadbiran Trump pada masa sama cuba meneruskan rundingan bagi menamatkan permusuhan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, Teheran sedang meneliti satu lagi cadangan damai daripada AS dalam wawancara dengan agensi berita ISNA.
Beliau berkata, selepas menilai cadangan itu, Iran akan membincangkannya dengan Pakistan yang bertindak sebagai pengantara.
Dalam hantaran media sosial awal Rabu, Trump tidak memperincikan cadangan itu tetapi berkata, perang boleh ditamatkan jika Iran bersetuju memberikan apa yang telah dipersetujui.
“Kami berada dalam keadaan sangat baik di Iran. Semuanya berjalan lancar dan kita akan lihat apa yang berlaku. Mereka mahu membuat perjanjian, mereka mahu berunding,” kata Trump di Rumah Putih.
Dalam wawancara denganlaman berita PBS, Trump berkata, kemungkinan besar perjanjian dengan Iran dapat dicapai sebelum beliau berlepas ke China minggu depan untuk bertemu Presiden, Xi Jinping.
Pengacara Fox News, Bret Baier turut melaporkan Trump yakin perjanjian dengan Iran dapat dicapai dalam tempoh seminggu.
“Trump percaya potensi perjanjian dengan Iran boleh dimuktamadkan dalam tempoh seminggu. Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden sebentar tadi dan beliau optimis mengenai perjanjian ini, memorandum persefahaman ini dan percaya ia akan membawa kepada perkembangan positif.
“Beliau optimis secara berhati-hati. Saya bertanya kepadanya apakah tempoh masa yang dijangkakan dan beliau menyatakan semuanya boleh diselesaikan dalam masa seminggu.
“Beliau berkata bahagian paling penting ialah mengeluarkan uranium diperkaya tinggi dari Iran dan memastikan Selat Hormuz dibuka sepenuhnya,” kata Baier ketika siaran berita secara langsung semalam.











