Tiga kali dibedah kerana strok - Utusan Malaysia

Tiga kali dibedah kerana strok

KAMARIAH Yusoff menunjukkan kesan pembedahan pada kepala anaknya semasa menerima kunjungan MTRK di rumahnya di Kampung Besut, Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kasih sayang seorang warga emas tidak ternilai apabila setia menjaga anak lelakinya yang bukan sahaja terlantar, malah hilang sebahagian ingatan dan mengalami sawan selepas menjalani tiga pembedahan di kepala akibat strok.

Kamariah Yusof, 74, berkata, Khairi Faiz Jaafar, 40, hanya terbaring di katil sejak diserang strok tiga tahun lalu yang hampir meragut nyawanya.

Menurutnya, ia terjadi selepas salur darah di kepala anaknya pecah dan perlu menjalani pembedahan kecemasan.

“Pembedahan pertama dilakukan untuk membuang darah beku di kepala. Selepas itu, doktor mengesan terdapat kandungan air dalam kepala dan dia perlu dibedah sekali lagi dengan segera.

“Pembedahan ketiga pula bagi memasang semula tempurung kepala. Kesemua prosedur itu dilakukan dalam tempoh enam bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kamariah ditemui selepas menerima kunjungan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diketuai Presidennya, Aiman Yusri Mohd. Yusof bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Besut di sini, Selasa lalu.

MTRK menyampaikan sum­bangan bakul makanan dan bantuan zakat kepada Khairi Faiz.

Khairi Faiz yang merupakan bekas kerani di IPD Tumpat berkata, kehidupannya kini bergantung sepenuhnya kepada ibu selepas berpisah de­ngan isteri dan mempunyai dua anak.

Katanya, akibat strok dialami, dia bukan sahaja tidak mampu berjalan, malah perlu menggunakan lampin pakai buang dan beg kencing.

“Semua urusan harian diuruskan oleh ibu. Walaupun saya sering lupa dan kerap bertanya perkara sama, ibu tetap sabar melayan saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×