TAWAU: Seramai 28 warga asing termasuk dua wanita direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai beroperasi di empat banglo mewah.
Perintah reman sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap semua suspek berusia antara 21 hingga 51 tahun.
Berdasarkan keterangan kes, pasukan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menyerbu empat banglo mewah di Bandar Sri Indah, Jalan Apas malam tadi.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua set modem internet yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan saham secara dalam talian menggunakan beberapa platform media sosial dengan sasaran utama adalah warga Korea Selatan.
Sindiket itu juga dipercayai menjadikan lokasi serbuan sebagai pusat operasi, tempat latihan, penginapan dan kawasan rehat ahli kumpulan terbabit.
Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merakam percakapan semua suspek, mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas serta mengenal pasti rangkaian kegiatan mereka. – UTUSAN










