DUN Johor lulus jawatan lima ADUN lantikan - Utusan Malaysia

DUN Johor lulus jawatan lima ADUN lantikan

DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

RUU berkenaan memperoleh majoriti dua pertiga bagi membolehkan pindaan undang-undang negeri dibuat dengan 40 ADUN menyokong manakala 16 lagi menentang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan RUU itu mencadangkan pindaan Perkara 15 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dengan memasukkan frasa ‘tidak melebihi lima ahli lantikan’.

“Ini sekali gus akan menjadikan jumlah kerusi DUN Johor meningkat daripada 56 kepada 61.

“ADUN lantikan ini perlulah individu berkaliber untuk meningkatkan kualiti perbahasan dan juga proses penggubalan dasar kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap turut memberitahu, langkah mewujudkan jawatan ADUN lantikan juga telah dilaksanakan di beberapa negeri lain iaitu Pahang, Terengganu dan Sabah.

“Jawatan ADUN lantikan ini tidak akan melayakkan mereka menerima pencen namun akan diberikan imbuhan yang akan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengimbang, Andrew Chen Kah Eng berkata, jawatan ADUN lantikan harus cenderung kepada kumpulan yang mempunyai kepakaran tertentu bagi membolehkan mereka mengutarakan pendapat profesional dalam dewan.

“Lantikan juga perlu daripada kumpulan yang mewakili golongan minoriti dimana representasi dianggap ketinggalan dan perlu dipertimbangkan bagi memastikan suara minoriti diwakili,” katanya.

Pada masa sama, Kah Eng yang juga ADUN Stulang turut memberitahu bahawa perbincangan melibatkan persempadanan semula DUN Johor adalah lebih relevan berbanding soal ADUN lantikan.

“Kalau nak tambah ADUN, melalui persempadan semula kita boleh juga tambah sehingga 10 ADUN secara keseluruhan di Johor. Jika langkah itu boleh dibuat mengapa perlu adanya ADUN lantikan.

“Kami rasa proses pembawaan usul ini boleh diperbaiki, di mana sepatutnya ada rundingan atau perbincangan dengan pihak pengimbang sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×