‘Saya tidak berkenan cubaan ubah UiTM’

‘Saya tidak berkenan cubaan ubah UiTM’

TENGKU Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan ijazah doktor falsafah dan ijazah sarjana kepakaran kritikal kepada 290 graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor, semalami. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu dipelihara sebagai institusi pendidikan tinggi awam yang memainkan peranan penting dalam menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu, Orang Asli serta anak-anak Sabah dan Sarawak, ibarat sebuah ‘universiti diraja’.

Pro-Canselor, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, amanah itu perlu digalas dengan penuh tanggungjawab selaras Akta 173 (1A) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, UiTM hendaklah terus dipertahankan sebagai institusi yang berteraskan amanah.

“Saya tidak berkenan sekiranya terdapat mana-mana pihak membuat cubaan mengubah, menggugat atau memesongkan tujuan penubuhannya.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara ke­dudukan UiTM, di sam­ping memastikan kepentingan sah kaum-kaum lain yang turut dipelihara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” titah baginda pada pembukaan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-104 di sini, semalam.

Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan keprihatinan baginda terhadap ketegangan geopolitik yang mengorbankan nyawa serta menjejaskan kestabilan ekonomi, sosiopolitik dan kesejahteraan sejagat.

“Keadaan itu seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, cakna akan keperluan negara, serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan dan tanggungjawab.

“Saya menyeru agar seluruh rakyat untuk terus mendoakan agar negara kita serta negara serantau, sentiasa dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat pergolakan yang berlaku,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Selangor turut menasihatkan graduan supaya tidak mengabaikan nilai adab, integriti dan tanggungjawab sebagai insan yang berilmu ketika mendepani kepesatan teknologi serta perubahan landskap ekonomi global

“Kemajuan ketamadunan sesebuah masyarakat amat bergantung kepada perkembangan ilmu. Semakin luas ilmu yang diterokai, semakin tinggi keupayaan sesuatu bangsa untuk maju dan berkembang,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×