Bursa Malaysia di paras tertinggi sejak konflik Asia Barat

Bursa Malaysia di paras tertinggi sejak konflik Asia Barat

BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengukuh melepasi 1,750 mata, paras tertinggi sejak konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari lalu, tatkala menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup tinggi 9.44 mata kepada 1,756.87 berbanding 1,747.43 mata semasa sesi dagangan akhir kelmarin.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan lebih tinggi apabila ditutup sebanyak 3.9300/3.9350 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 3.9610/3.9650 pada kelmarin.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, konflik di Asia Barat mempunyai kelebihan untuk Malaysia apabila pelabur mencari pasaran yang lebih stabil.

Katanya, perkara ini membuka ruang kepada negara ini apabila pelaburan ekuiti beralih ke pasaran seperti Asia Tenggara.

“FBM KLCI telah meningkat dari sekitar 1,660 mata pada awal tahun lalu kepada lebih 1,700 mata ketika ini. Jadi, kita dapat melihat peningkatan yang ketara dalam pasaran modal. 

“Sektor-sektor yang mendapat manfaat terutamanya adalah elektrik dan elektronik (E&E) dan juga komoditi. Saya jangkakan FBM KLCI boleh capai antara 1,740 hingga 1,750 mata menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, pasaran kewangan lazimnya bertindak balas secara mendahului kitaran, justeru jangkaan penurunan harga minyak mentah Brent selepas konflik geopolitik sering diterjemahkan lebih awal dalam harga aset.

Katanya, dalam perkembangan terkini, walaupun berlaku pembetulan mendadak pada awal Mac, pemulihan pantas mencerminkan pelarasan jangkaan.

Jelasnya, ini bukannya penambahbaikan asas, memandangkan kesan kos tenaga yang tinggi terhadap pendapatan korporat masih berada dalam fasa peralihan dan lazimnya muncul dengan lewat beberapa bulan. 

“Dari sudut ekuiti, ini menjelaskan mengapa putaran sektor menjadi petunjuk utama, dengan pasaran beralih secara taktikal antara sektor sensitif kos dan sektor defensif selari dengan perubahan jangkaan harga tenaga, sementara penilaian agregat kekal disokong oleh kecairan global.

“Dari perspektif serantau, kejutan di laluan kritikal seperti Selat Hormuz mempunyai kesan tidak simetri iaitu ekonomi Asia lebih terdedah melalui saluran tenaga dan perdagangan, manakala impak langsung kepada AS adalah lebih terhad. 

“Ketidakseimbangan ini mewujudkan peluang relatif dalam penilaian aset, apabila premium risiko di Asia meningkat dan menekan harga ekuiti, sekali gus menarik aliran masuk modal daripada pasaran maju yang mencari nilai,” ujarnya.

Mengulas mengenai konteks mata wang, beliau berkata, jangkaan harga minyak yang lebih rendah lazimnya menyokong mata wang negara pengimport seperti Malaysia melalui saluran inflasi dan imbangan dagangan.

“Namun dalam jangka pendek, dinamik aliran portfolio dan kedudukan kecairan global sering menjadi pemacu dominan.

“Oleh itu, tindak balas pasaran lebih mencerminkan penetapan semula jangkaan berbanding realiti semasa, dengan harga aset menyesuaikan lebih awal kepada normalisasi harga minyak, sementara kesan sebenar terhadap pertumbuhan dan keuntungan korporat hanya akan terserlah secara berperingkat dalam tempoh berikutnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×