PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) menyumbang sejumlah RM1.55 juta dalam tempoh dua tahun kepada rumah kebajikan tempatan, sekolah serta komuniti kurang berkemampuan menerusi Inisiatif Pengumpulan Dana HLB For Good: Perbankan Perniagaan dan Korporat.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan dan Korporat HLB, Yow Kuan Tuck berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada para pelanggan yang tampil dan murah hati dalam menyampaikan sumbangan.
“Dalam keadaan mencabar ini, rumah kebajikan sering menerima kesan terbesar daripada perubahan ekonomi dan kesediaan pelanggan kami untuk memberi semula menunjukkan rasa tanggungjawab serta semangat kemasyarakatan yang tinggi.
“HLB melihat diri kami sebagai rakan kepada pelanggan dalam setiap aspek. Kami bukan sahaja bekerjasama dalam pertumbuhan kewangan, tetapi turut bersama-sama melabur dalam kesejahteraan masyarakat tempat kita semua hidup,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif yang dianjurkan bersempena majlis makan malam penghargaan pelanggan Tahun Baharu Cina tahunan bahagian Perbankan Perniagaan dan Korporat (BCB) bank itu pada asalnya menetapkan sasaran RM500,000.
Bagaimanapun, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membolehkan kempen tahun ini melepasi sasaran tersebut, sekali gus memperluas jangkauan bantuan kepada lebih banyak rumah kebajikan di seluruh negara.
Dana ini amat penting pada ketika banyak organisasi kebajikan terkesan teruk akibat keadaan ekonomi yang mencabar, sekali gus bergelut untuk mengekalkan operasi asas dan menjaga kebajikan penghuni.
Kini memasuki tahun kedua, kempen ini mengajak pelanggan korporat untuk turut menyumbang kepada usaha kebajikan bersama bank, mencerminkan bank dan pelanggan bertindak sebagai rakan, bukan sahaja dalam perniagaan, tetapi juga dalam misi bersama untuk menyumbang kepada masyarakat.
HLB berkata, sumbangan yang dikumpul pada tahun ini akan digunakan untuk menambah baik keadaan kehidupan, penjagaan kesihatan serta sumber pendidikan di pelbagai rumah kebajikan, selaras dengan falsafah ‘Built Around You’ yang mendorong HLB menjadi pemangkin kepada pelanggan untuk melabur semula dalam komuniti tempatan.
Tambahnya, HLB secara konsisten mempamerkan nilai ini menerusi pelbagai program libat urus komuniti berskala besar, termasuk inisiatif utama HLB DuitSmart yang memacu literasi kewangan di seluruh negara.
“Usaha berterusan ini telah memperoleh pengiktirafan industri yang ketara daripada bank, termasuk dinamakan Bank Terbaik Tahun Ini untuk Pemerkasaan Komuniti di Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia selama beberapa tahun berturut-turut serta menerima Anugerah Kecemerlangan CSR kerana mempertingkatkan peluang pendidikan,” jelasnya. – UTUSAN










