KUALA Lumpur dan kesesakan lalu lintas seolah tidak dapat dipisahkan. Bagi kebanyakan warga kota, waktu puncak menjadi rutin kehidupan harian yang meragut masa, wang dan kesejahteraan mental secara senyap.
Di tengah-tengah keluhan yang kian memuncak ini, inisiatif Bangun KL yang dicetuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, wajar dilihat sebagai satu eksperimen sosial dan dasar awam yang menarik untuk dibincangkan, terutamanya dari lensa perancangan bandar.
Secara teorinya, Bangun KL bukanlah sekadar ajakan untuk bangun tidur lebih awal. Dari perspektif akademik, ia adalah manifestasi pendekatan Pengurusan Permintaan Perjalanan yang menumpukan perubahan tingkah laku pengguna berbanding penambahan infrastruktur fizikal.
Selama ini, pendekatan konvensional kita terhadap kesesakan lalu lintas lebih bersifat ‘bekalan’ seperti membina lebih banyak jalan raya, menambah lorong dan membina jambatan bertingkat.
Namun, teori dan pengalaman perancangan bandar membuktikan lebih banyak jalan dibina, lebih banyak kenderaan akan untuk memenuhinya, di mana peningkatan kapasiti jalan akhirnya menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan, lalu mengembalikan kesesakan ke tahap asal.
Inisiatif Bangun KL cuba beralih daripada membina lebih banyak jalan raya kepada menguruskan aliran masa dan tingkah laku.
Persoalan besar yang sering dilemparkan ialah, jalan sudah sesak seawal jam 6:30 pagi, adakah kita perlu bangun lebih awal lagi?
Trafik di Lembah Klang mempunyai ‘titik genting’. Kelumpuhan sebenar berlaku apabila volum kenderaan bertumpu pada satu jendela masa yang sempit, biasanya antara jam 7.30 hingga 8.30 pagi.
Kerana itu, Bangun KL cuba menggalakkan sebahagian daripada 1.2 juta kenderaan yang masuk ke pusat bandar setiap hari untuk bergerak lebih awal dengan adanya insentif awal pagi seperti diskaun di premis makanan atau aktiviti komuniti.
Jika berjaya mengalihkan walaupun hanya 10 peratus daripada pengguna jalan raya ke jendela masa yang lebih awal, impaknya terhadap kelancaran aliran trafik pada waktu puncak boleh menjadi sangat signifikan. Ia memberi ruang kepada jalan raya untuk ‘bernafas’.
Namun, perlu ditegaskan Bangun KL tidak boleh berdiri sebagai sebuah inisiatif terpencil. Keberkesanannya bergantung sepenuhnya kepada perubahan struktural dalam budaya korporat dan pentadbiran. Inisiatif ini perlu disekalikan dengan polisi Waktu Kerja Berperingkat.
Jika pihak majikan, sama ada kerajaan mahupun swasta, tidak memberikan keanjalan untuk pulang lebih awal bagi mereka yang datang awal, maka Bangun KL akan menjadi beban tambahan yang mengakibatkan keletihan kronik pekerja.
Kita tidak mahu melahirkan tenaga kerja yang cekap sampai ke pejabat tetapi lesu untuk produktif kerana waktu kerja yang menjadi terlalu panjang.
Dalam konteks ini, institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Klang juga mempunyai peranan penting.
Universiti bukan sekadar pusat menimba ilmu tetapi merupakan entiti ‘penjana trafik’ yang besar dengan ribuan kakitangan, pensyarah dan mahasiswa yang perlu berada di kampus pada waktu yang hampir sama setiap pagi.
IPT seharusnya menjadi ‘makmal hidup’ bagi inisiatif ini. Universiti perlu menyusun semula jadual kuliah dengan memulakan kelas tertentu lebih awal, sekali gus melatih mahasiswa mengamalkan disiplin masa dan mengurus mobiliti dengan baik sebelum mereka melangkah ke alam kerjaya yang lebih mencabar.
Selain itu, anjakan waktu ini juga memberi impak positif terhadap kelestarian kampus.
Apabila pergerakan warga kampus tersebar sepanjang hari, membolehkan penggunaan infrastruktur seperti dewan kuliah, perpustakaan dan kawasan parkir dapat dioptimumkan dengan lebih efisien tanpa berlaku kesesakan melampau pada satu-satu masa.
IPT juga boleh berfungsi sebagai nod transit yang menyediakan kemudahan mobiliti mikro seperti basikal elektrik atau ruang kerja bersama yang dibuka lebih awal pagi. Ini bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah menjadikan universiti sebagai model kecil kepada perancangan bandar pintar yang responsif terhadap perubahan tingkah laku masyarakat.

Satu lagi elemen yang tidak boleh diabaikan ialah integrasi teknologi dan Bekerja Dari Rumah (BDR). Inisiatif Bangun KL seharusnya dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem mobiliti moden yang lebih besar.
Bagi sektor yang membolehkan tugasan dilakukan secara digital, kehadiran fizikal di jalan raya pada waktu puncak adalah pembaziran sumber.
Pelaksanaan BDR secara bersasar dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus memberi keutamaan kepada mereka yang perlu hadir secara fizikal, seperti petugas kesihatan, pekerja industri dan sektor logistik.
Namun, sebarang usaha untuk menggalakkan pergerakan awal tidak akan berjaya tanpa sokongan sistem pengangkutan awam yang cekap dan selamat. Perkhidmatan rel dan bas perlu menawarkan kekerapan tinggi seawal pagi, dengan tahap kebolehpercayaan yang konsisten.
Pada masa sama, aspek keselamatan, terutamanya bagi wanita dan pelajar, perlu diberi perhatian serius.
Pencahayaan jalan, akses ke stesen dan kehadiran pengawasan keselamatan merupakan faktor yang mempengaruhi kesediaan orang ramai untuk mengubah rutin harian.
Tanpa jaminan keselamatan, inisiatif seperti Bangun KL sukar untuk mendapat penerimaan meluas.
Kesimpulannya, Bangun KL adalah sebuah permulaan yang berani dalam menilai semula hubungan antara masa, mobiliti dan ruang bandar. Ia mencabar norma kerja pukul 9 pagi ke 5 petang, yang semakin tidak relevan dalam konteks kepadatan bandar moden.
Namun, kejayaan jangka panjangn memerlukan simbiotik antara polisi kerajaan, keterbukaan majikan, kepimpinan institusi dan keberkesanan pengangkutan awam.
Matlamatnya bukan sekadar mengurangkan kesesakan tetapi membina sebuah Kuala Lumpur yang lebih manusiawi, sebuah kota yang tidak memaksa warganya mengorbankan kesejahteraan demi mobiliti harian.
Sudah tiba masanya kita beralih daripada penyelesaian berasaskan pembinaan fizikal semata-mata kepada strategi yang lebih bijaksana, berasaskan tingkah laku dan berteraskan kelestarian. –UTUSAN
DR. Muhammad Faris Abdullah ialah Pensyarah, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar(KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.
PROFESOR Madya Dr. Noor Suzilawati Rabe ialah Pensyarah, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar(KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Kampus Gombak.











