KUALA LUMPUR: MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) memperuntukkan pelaburan berstrategik berjumlah RM2.2 bilion merangkumi inisiatif kredit karbon, pembangunan hartanah bernilai tinggi serta projek pembangunan masa hadapan di Pulau Indah, Selangor.
Pembangunan hartanah bernilai tinggi tersebut meliputi Signal Hill di Kota Kinabalu, Ampangan di Negeri Sembilan serta Jalan Maktab, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah MARA dan Pengerusi MARA Corporation Sdn. Bhd. , Datuk Zulfikri Osman berkata, bagi inisiatif kredit karbon patuh syariah itu dijangka melibatkan kawasan melebihi 200,000 hektar dengan potensi hasil sehingga RM450 juta menjelang 2030.
“Kesemua inisiatif itu dirangka secara strategik bagi memperkukuh asas aset MARA, mempelbagaikan aliran pendapatan serta meningkatkan daya tahan jangka panjang portfolio pelaburan kumpulan.
“Tempoh pelaksanaan keseluruhan projek adalah sehingga 2030, namun setiap inisiatif mempunyai jadual pelaksanaan berbeza mengikut sifat dan fasa pembangunan masing-masing.
“Bagi pembangunan hartanah, terdapat tiga projek utama iaitu Signal Hill di Sabah, Ampangan di Negeri Sembilan dan Jalan Maktab di Kuala Lumpur berhampiran kawasan Keramat.
“Kesemua projek ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sekitar RM1 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran GDV tersebut, ketiga-tiga projek berkenaan dijangka memberi pulangan positif kepada kumpulan serta menyumbang kepada aliran keuntungan yang lebih mampan pada masa hadapan.
Selain itu, MARA turut memperkukuh platform Wakaf MARA Madani yang disasarkan mencapai RM100 juta menjelang 2026, sebelum berkembang kepada ekosistem wakaf bernilai RM1 bilion.
“Pendekatan itu bertujuan menjadikan wakaf sebagai enjin kewangan sosial yang mampan dan berimpak tinggi.
“MARA menyeru seluruh ekosistem termasuk alumni, usahawan dan rakan strategik untuk bersama-sama memperkasa Wakaf MARA Madani.
“Dalam aspek tadbir urus, MARA sedang membangunkan sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) yang dijangka siap menjelang Disember 2026.
“Pelaksanaan sistem ini akan meningkatkan ketelusan pelaporan kewangan serta memperkukuh akauntabiliti dan kecekapan membuat keputusan,” ujarnya.
Pada masa sama, MARA turut menyalurkan sumbangan dividen sebanyak RM40 juta, mencerminkan keupayaan organisasi mengimbangi prestasi kewangan dan impak sosioekonomi.
“MARA akan terus memperkukuh pelaburan bernilai tinggi, memperluas sumber pendapatan serta memastikan pertumbuhan mampan demi manfaat komuniti bumiputera dan negara,” katanya. – UTUSAN










