Dunia sedang disusun semula, siapa tak faham akan tertinggal

Dunia sedang disusun semula, siapa tak faham akan tertinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hari ini berubah terlalu perlahan sedangkan kemelut yang berlaku semakin kompleks bersama dengan teknologi yang semakin pantas dan canggih.

Ini adalah kerana order dunia sedia ada sudah tidak lagi relevan. Maka tiada pilihan selain penyusunan semula. Inilah mesej paling jelas daripada Forum Shanghai yang berlangsung dari 24 hingga 26 April, lalu.

Forum ini merupakan acara tahunan yang sudah berlangsung sejak 2005. Ia mengumpulkan pemain-pemain industri, ahli akademik yang dilihat menawarkan pendekatan alternatif kepada forum seumpamanya di Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Isyarat penyusanan semula ini bukan sekadar daripada isi perbahasan tetapi suasana intelektualnya yang tenang, analitik, namun sarat dengan kegelisahan yang sukar diungkap secara langsung.

Setiap perbincangan sentiasa merujuk berulang-ulang kepada kata asas keperluan penyusunan semula, bukannya reformasi seperti banyak berlaku di perbincangan lain.

Beza antara dua konsep ini amat besar di mana reformasi hanya membaiki sistem lama. Tetapi penyusunan semula bermaksud merombak struktur asas sedia ada yakni melihat semula dan menukar asas-asas seperti siapa yang membentuk peraturan, bagaimana kuasa diagihkan dan apa yang masih boleh terpakai dalam dunia baharu sekarang.

Di titik inilah satu realiti yang perlu disampaikan kepada dunia bahawa sistem tadbir urus global lama tidak lagi mencukupi untuk dunia masa kini. Dunia hari ini tidak lagi sedang berubah secara perlahan tetapi sedang disusun semula.

HILANG DAYA TAHAN

Sistem antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua, yang bertahan hampir 80 tahun, kini menunjukkan kelemahan struktur yang jelas. Dunia bukan sahaja lebih kompleks tetapi juga lebih bercanggah, saling bergantung, namun semakin terpecah.

Di Forum Shanghai, hal ini tidak dibahaskan secara retorik tetapi konseptual melalui data, kajian kes dan perbandingan sistem. Namun kesimpulannya hampir sama iaitu krisis hari ini bukan bersifat episodik tetapi struktural.

Konflik geopolitik, ketidaksamaan ekonomi, krisis iklim dan gangguan teknologi tidak lagi berdiri sebagai isu berasingan. Ia saling mengikat dalam satu realiti yang sama iaitu kerangka lama tidak lagi mampu menampung beban dunia baharu.

Tema ‘Hidup bersama secara aman’ yang diangkat bukan sekadar aspirasi moral tetapi pengakuan tersirat bahawa keamanan global tidak lagi automatik dalam sistem sedia ada.

Seperti diingatkan oleh Ban Ki-moon ketika ucaptama beliau, “tiada siapa selamat sehingga semua orang selamat.”

Namun di Shanghai, frasa ini kedengaran bukan sebagai slogan tetapi prinsip yang semakin sukar dicapai dalam realitas geopolitik, sekali gus mesti menjadi agenda utama.

Satu konsensus yang semakin jelas ialah tadbir urus global sedang kehilangan bentuk lamanya. Institusi antarabangsa masih wujud tetapi keberkesanannya semakin terhad.

Dunia bergerak ke arah multipolar, namun tanpa mekanisme koordinasi yang sepadan. Hasilnya ialah jurang antara kuasa dan order atau peraturan. Di sini muncul gagasan tadbir urus kolaboratif berteraskan jaringan dengan penyertaan pelbagai aktor, bukan dominasi tunggal.

Tetapi cabaran utama tadbir urus sebegini bukan pada reka bentuk sistem, melainkan pada defisit kepercayaan. Negara tidak kekurangan platform untuk dialog. Yang hilang ialah kesediaan untuk berkongsi kuasa secara bermakna.

Fenomena seperti kehadiran Donald Trump sering dibincangkan sebagai simbol kepada ketidakstabilan konsensus lama. Ini antara tanda sistem global tidak lagi mempunyai pusat graviti yang jelas.

Dalam masa sama, perbincangan tentang kecerdasan buatan (AI) menjadi semakin dominan. AI tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi sebagai asas baharu kepada keupayaan negara dan ekonomi.

Ini perubahan yang besar daripada teknologi kepada infrastruktur kuasa. Negara kini bukan sekadar membangunkan AI tetapi membentuknya mengikut logik nasional masing-masing. Hasilnya ialah fragmentasi ekosistem AI yang tidak selaras, bergerak dalam blok berbeza.

Lebih penting, AI hari ini semakin ‘dibentuk manusia’ yakni oleh nilai, budaya, dan struktur sosial. Ia tidak neutral dan inilah yang menjadikan tadbir urusnya semakin kompleks.

 

 

 

PENDEKATAN baharu yang lebih inklusif dan berasaskan musyawarah amat diperlukan bagi membina semula kepercayaan dan kestabilan global.

PRINSIP MUSYAWARAH

Dalam dunia yang semakin terpecah ini, persoalan apakah pendekatan yang sesuai menjadi kritikal. Disinilah konsep musyawarah menjadi relevan bukan sebagai identiti budaya tetapi sebagai kaedah tadbir urus.

Musyawarah bukan sekadar kompromi tetapi proses mengiktiraf perbezaan, mendengar secara serius dan membina keputusan tanpa dominasi kuasa.

Dalam dunia penyusunan semula, pendekatan ini menawarkan sesuatu yang semakin jarang berlaku tetapi amat diperlukan iaitu proses membina kepercayaan dalam sistem yang kehilangan kepercayaan.

Ia berbeza daripada model lama yang berasaskan transaksi atau dominasi. Musyawarah bergantung kepada legitimasi bersama. Memang ia agak lambat tetapi lebih stabil, kompleks dan tahan lama.

Namun di luar ruang forum, realiti geopolitik bergerak lebih keras. Ketegangan global terus meningkat dengan Asia Barat kekal sebagai titik paling rapuh dalam sistem antarabangsa.

Konflik yang berterusan ini bukan sahaja mencerminkan kegagalan sistem lama tetapi juga menunjukkan betapa sukarnya proses penyusunan semula itu sendiri dalam keadaan dunia yang tidak stabil.

Di sinilah fungsi dan peranan ruang seperti Forum Shangha menjadi penting bukan kerana menyediakan ruang untuk berfikir ketika dunia sedang bertindak tanpa henti.

IMPLIKASI KEPADA POLITIK MALAYSIA

Di peringkat domestik, tekanan penyusunan semula global menuntut perubahan dalam budaya politik. Politik tidak lagi boleh beroperasi dalam horizon jangka pendek atau wacana sempit. Kerumitan global memerlukan kepimpinan yang mampu berfikir secara strategik, mengimbangi keperluan yang bertentangan dan memahami sinergi antara ekonomi, teknologi, sosial serta geopolitik.

Di peringkat serantau dan global, Malaysia berdepan realiti ruang berkecuali semakin mengecil. Dalam dunia yang terpecah kepada blok teknologi, ekonomi, dan pengaruh, kejelasan posisi menjadi semakin penting bukan untuk memilih pihak secara mutlak tetapi untuk memastikan kepentingan negara tidak tenggelam dalam persaingan kuasa besar.

Malah, sebagai sebahagian daripada ASEAN, berdepan cabaran lebih besar dalam memastikan rantau ini kekal sebagai ruang keseimbangan.

Akhirnya, dalam dunia yang sedang melalui penyusunan dengan peranan AI yang semakin rancak, persoalan utama bukan lagi bagaimana Malaysia menyesuaikan diri tetapi sama ada kita mampu membaca arah perubahan dengan tepat sebelum ia menentukan kita.\

Kerana dalam susunan baharu yang sedang terbentuk ini, mereka yang gagal menentukan posisi sendiri bukan sahaja akan ketinggalan tetapi akan ditentukan oleh orang lain.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional, Penyelidik Pelawat Pusat Kajian Malaysia Universiti Soka, Tokyo, Japan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini