Ukraine serang kapal tangki Russia - Utusan Malaysia

Ukraine serang kapal tangki Russia

GAMBAR fail sebuah kapal tangki minyak (kanan) yang mempunyai kaitan dengan Russia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine pada Ahad mengumumkan menyerang beberapa buah kapal milik Russia termasuk sebuah kapal pembawa peluru berpandu dan tiga kapal tangki.

Ia berlaku ketika kedua-dua pihak melancarkan ratusan dron dalam pertempuran yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan nyawa.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar akan mempertingkatkan serangan balas ke atas loji tenaga Russia sekiranya Moscow enggan menghentikan pencerobohan mereka yang bermula Februari 2022. 

Beliau berkata, Russia boleh menamatkan peperangan ini pada bila-bila masa. Namun, tindakan memanjangkan konflik hanya akan memperluaskan skala operasi pertahanan Ukraine.

Zelensky mendedahkan bahawa tentera Ukraine telah menyerang sebuah kapal yang dilengkapi peluru berpandu di pelabuhan Primorsk, wilayah Leningrad. 

Selain itu, tiga kapal tangki ada kaitan dengan Russia yang digunakan untuk mengangkut minyak di bawah sekatan antarabangsa turut menjadi sasaran. Satu serangan dilakukan di Primorsk dan dua lagi di pelabuhan Novorossiysk.

Menurut Kyiv, serangan ke atas terminal eksport minyak ini telah melumpuhkan hasil eksport penting Russia yang bernilai berbilion-bilion dolar. 

Gabenor wilayah Leningrad sebelum ini mengesahkan berlaku kebakaran di pelabuhan berkenaan susulan serangan tersebut, walaupun butiran kerosakan masih belum jelas.

Tentera Udara Ukraine melaporkan Russia melancarkan 268 dron dan sebuah peluru berpandu balistik dalam serangan itu. Kementerian Pertahanan Russia pula mendakwa Ukraine telah melancarkan 334 dron ke arah wilayah mereka.

Kyiv menyifatkan serangan ke atas wilayah Russia itu sebagai tindak balas adil terhadap bedilan berterusan Moscow ke atas bandar-bandar Ukraine. 

Sejak pencerobohan Russia bermula, puluhan ribu nyawa telah terkorban dengan angka korban paling tinggi dicatatkan di Ukraine. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN