BAGAN SERAI: Projek berbilion ringgit bagi memindahkan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah di sini kini dalam peringkat akhir kajian pihak terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kajian itu sedang dibuat oleh konsultan yang dilantik.
Beliau berharap projek itu berjalan lancar bagi mengatasi kekurangan air di Tasik Bukit Merah yang berfungsi membekalkan air kepada penduduk dan para pesawah.
“Kalau tidak cukup air, hendak tanam padi tidak boleh. Untuk kegunaan masjid pun tiada.
“Oleh itu saya beritahu kepada mereka tentang projek ini iaitu penghantaran air Sungai Perak dari Chenderoh perjalanan 60 kilometer sampai ke Tasik Bukit Merah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sesi libat urus dan taklimat keselamatan di Empangan Bukit Merah di sini hari ini.
Pada Oktober 2025, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kelulusan projek tersebut kini sudah di peringkat Kabinet dan akan dilaksanakan tahun ini bagi menangani isu kekurangan bekalan air semasa musim kemarau di utara Perak.
Empangan Bukit Merah ialah tasik buatan manusia tertua di Malaysia yang dibina pada 1902 dan siap empat tahun kemudian.
Selain musim kemarau, masalah mendapan juga merupakan antara punca utama takungan air di tasik itu menyusut.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Asnor Muizan Ishak berkata, usaha mengeluarkan kelodak dibuat secara berperingkat dan usaha itu menjadi sebahagian daripada komponen projek pemindahan air Sungai Perak.
“Pada peringkat awal, kapasiti air yang direka dahulu 90 juta meter padu. Sekarang 65 juta meter padu, hampir dikatakan 30 peratus pengurangan.
“Mulai tahun lepas kita mengorek keluar kelodak dari empangan ini dan dilakukan secara berperingkat untuk meningkatkan kapasiti air,” katanya. – UTUSAN










