KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tiada masalah untuk ‘membuka pintu’ kepada pemain profesional negara, Lee Zii Jia menyertai latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan badan induk itu kini hanya menunggu kelulusan daripada ahli majlis.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, perkara itu telahpun dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei dan pada dasarnya, BAM tiada masalah.
“Kita cuma perlu memperkemaskan beberapa perkara sahaja. Salah satunya adalah mendapatkan kelulusan daripada ahli majlis, tapi pada dasarnya memang tak ada masalah dan ini pun bukan perkara baru, dari dulu pun kita pernah jemput beliau untuk datang berlatih bersama,” katanya.
Kenny berkata demikian kepada pemberita pada sidang media menjelang Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2026 yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad di sini, semalam.
Menurut Kenny, pihaknya juga akan membuat penilaian sama ada pemain muda akan dilibatkan sama dalam program latihan dengan bekas bintang No. 2 dunia itu atau hanya membabitkan pemain elit.
Ketika ditanya pula mengenai prestasi hambar skuad kebangsaan pada Piala Thomas di Horsens, Denmark yang berakhir, minggu lalu, beliau menjelaskan, BAM mempunyai hala tuju yang memberi fokus kepada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Dalam mencapai hala tuju ini, kita ada banyak ‘milestones’ yang akan kita capai dan ada yang mungkin kita tak capai. Jadi, ‘milestone’ yang kita tak dapat capai ini, sudah tentu kita kena tahu kenapa kita tak capai.
“Tetapi, kita tidak seharusnya mempunyai satu tindak balas yang tidak memiliki hala tuju, setiap kali kalah kita mula menggelabah, yang penting adalah selagi kita berada dalam perancangan yang telah disusun itu, bermakna kita berada di landasan yang betul,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau berbohong jika menyatakan tiada kerisauan yang bersarang dihatinya, tetapi, pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan segala bentuk bantuan dan sokongan demi kemajuan prestasi para pemain.
“Mengenai disiplin, saya rasa itu memang kriteria dari dulu lagi. Bukan perkara baru, tetapi mungkin sekarang Datuk Seri Lee Chong Wei memberi peringatan dan juga penekanan bahawa faktor ini adalah satu faktor yang amat penting,” tegasnya.
Beliau juga tidak bersetuju jika ada yang menyatakan Malaysia ketandusan pemain perseorangan berbakat kerana cuma tuah yang tidak menyebelahi termasuk faktor kecederaan pemain yang turut perlu diambil kira.
Bercakap pula tentang persediaan Sukan Asia yang akan mempertandingkan acara berpasukan, Kenny berkata, temasya itu hanya akan berlangsung dalam tempoh empat bulan lagi, jadi, masih ada masa untuk menilai barisan pemain yang bakal dihantar ke Jepun.-UTUSAN










