PN tanding semua 56 kerusi DUN Johor

PN tanding semua 56 kerusi DUN Johor

DR. SAHRUDDIN Jamal (dua kanan) mengadakan sidang akhbar di pekarangan Sidang DUN Johor di Kota Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan alternatif kepada rakyat ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya itu pada bila-bila masa.

“PN akan bertanding di semua kerusi DUN (dalam PRN Johor). Senarai nama calon-calon akan diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan peringkat pusat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pekarangan Sidang DUN Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu, pihaknya masih menunggu keputusan kepimpinan tertinggi PN berhubung jawatan Pengerusi PN Johor yang baharu.

“Setakat ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghantar satu nama sebagai calon atas tiket Bersatu. Tetapi hingga hari ini masih belum dinamakan lagi, jadi kita tunggu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendesak agar kerajaan mengembalikan kuota program BUDI95 yang telah dikurangkan daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan pada April lalu.

“Kerajaan perlu lebih mengambil berat akan kebajikan rakyat yang berdepan kenaikan harga barangan termasuk bekalan bahan api seperti petrol dan diesel.

“Sepatutnya pada waktu seperti ini, bantuan tersebut ditambah dan bukannya dikurangkan. Jadi kita harap bantuan itu dipertimbangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×