Glide Technology terima pembiayaan RM2.5 juta 

Glide Technology terima pembiayaan RM2.5 juta 

STEVEN Sim Chee Keong (tiga dari kanan) bersama Datin Zarita Azlin Brahim (dua dari kiri) dan Presiden dan Pengasas Glide Group Datuk Muhazli Muhamad (tiga dari kiri) semasa majlis penyerahan cek cura di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Glide Technology Sdn. Bhd. (GTSB) menerima kemudahan pembiayaan berjumlah RM2.5 juta daripada SME Bank di bawah Program MySMELady 2.0 menerusi majlis penyerahan cek cura bagi memperkasa kapasiti pembuatan industri.

Glide Technology merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik penuh bumiputera yang diterajui wanita serta antara pengeluar kontrak pelincir bebas terkemuka di Malaysia, dengan operasi eksport aktif ke Angola melalui kerjasama dengan Etu Energias.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong di ibu pejabat Glide Technology di sini.

Steven berkata, Glide Technology mencerminkan dengan jelas matlamat pelaksanaan MySMELady 2.0.

“Ini merupakan contoh PKS bumiputera yang diterajui wanita, menghasilkan produk industri bertaraf dunia, menembusi pasaran antarabangsa serta menyumbang kepada peralihan tenaga negara,” katanya dalam kenyataan.

Pembiayaan yang disalurkan di bawah inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) itu akan digunakan bagi pemerolehan peralatan makmal, pengembangan jentera pengeluaran serta menaik taraf infrastruktur elektrik syarikat daripada 400A kepada 1,400A.

Pelaburan tersebut ­dijangka menyokong peningkatan pe­ngeluaran minyak transformer berasaskan sawit MPOB-Glide serta rangkaian produk Tranol Glide hasil kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Glide, Datin Zarita Azlin Brahim berkata, pihaknya menghargai sokongan tersebut dan komited memastikan setiap dana digunakan secara optimum.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran, meningkatkan standard pembuatan serta memperluas daya saing di peringkat global.

“Kami bertekad untuk terus mengharumkan nama Malaysia.

“Bagi Glide Technology, MySMELady 2.0 bukan sekadar kemudahan pembiayaan, tetapi manifestasi keyakinan terhadap wanita Malaysia, PKS bumiputera serta keupayaan industri tempatan.

“Program ini turut menawarkan nilai dalam tiga aspek utama iaitu kepercayaan SME Bank terhadap hala tuju Glide serta kepimpinan wanita dalam syarikat ini dan terma pembiayaan patuh syariah yang stabil bagi menyokong perancangan dan pertumbuhan jangka panjang. 

“Ia turut menawarkan akses kepada ekosistem DEWI melibatkan KUSKOP, SME Corp, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan agensi rakan strategik,” katanya.

Glide Technology turut memiliki hak eksklusif pengkomersialan global selama tujuh tahun daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi minyak transformer berasaskan sawit, selain dilantik sebagai rakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) oleh Petronas Lubricants International.

Zarita Azlin berkata, kemudahan RM2.5 juta itu akan dimanfaatkan secara strategik dalam tiga bidang utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×