PETALING JAYA: Produk makanan tempatan keluaran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kuala Klawang (PPDK), khususnya mi kuning semakin mendapat keyakinan pengguna setalah menerima pengiktirafan status halal.
Pensijilan halal tersebut turut meningkatkan tahap kepercayaan pengguna serta membuka potensi pasaran yang lebih luas.
Penyelia PPDK Kuala Klawang, Nor Ashikin Zainal Abidin berkata, produk utama mereka iaitu mee kuning yang dijual pada harga RM1.70 bagi setiap 450 gram dihasilkan sendiri dengan menggunakan bahan mentah yang mematuhi piawaian halal.
“Produk ini berasaskan tepung gandum bersama bahan lain seperti garam, pewarna kuning dan air abu bagi menghasilkan tekstur yang kenyal.
“Mi kuning kami tidak lembik, tidak pahit dan selamat dimakan kerana telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nor Ashikin, produk tersebut juga boleh disimpan sehingga seminggu di dalam peti sejuk tanpa menjejaskan kualiti, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian pengguna.
Tambahnya, permohonan sijil halal dibuat pada 8 Mac 2024 sebelum diluluskan pada 16 Jun tahun sama, sebagai langkah memberi jaminan kepada pengguna khususnya umat Islam bahawa produk dihasilkan mengikut syariat serta bebas daripada unsur meragukan.
“Pensijilan halal bukan sahaja penting dari sudut agama, tetapi turut menitikberatkan aspek kebersihan, kualiti dan keselamatan makanan, sekali gus meningkatkan kepercayaan pengguna,” katanya.
Nor Ashikin berkata, selepas memperoleh sijil halal, perniagaan mereka menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan jualan daripada sekitar RM100 kepada RM300.
Dalam perancangan masa depan, PPDK Kuala Klawang menyasarkan untuk terus mengembangkan pasaran serta memperkukuh kedudukan produk mi kuning mereka.
“Sijil halal bukan matlamat akhir, tetapi satu langkah strategik untuk memastikan perniagaan ini terus berkembang secara mampan dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN










