Syarikat OGSE perlu kurang kebergantungan projek jangka pendek

Syarikat OGSE perlu kurang kebergantungan projek jangka pendek

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARIKAT tempatan dalam industri minyak dan gas disaran memberi tumpuan kepada pengukuhan kedudukan kewangan, pengurangan kebergantungan kepada projek jangka pendek serta kepelbagaian sumber pendapatan bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd. Yazid Ja’afar berkata, strategi ini penting untuk meningkatkan daya tahan syarikat dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), yang semakin terdedah kepada turun naik kitaran industri dan tekanan kos global.

Katanya, hasil libat urus dengan pemain industri termasuk syarikat tersenarai awam (PLC), semakin banyak syarikat kini menilai semula model perniagaan masing-masing dengan memberi tumpuan kepada segmen yang menawarkan pendapatan lebih stabil.

“Ini termasuk perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan, integriti aset, pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan, perkhidmatan medan perang, penyelesaian digital serta aktiviti penyahaktifan , yang lazimnya berasaskan kontrak jangka panjang dan aliran pendapatan berulang berbanding projek sekali bayar berasaskan perbelanjaan modal (capex).

“Pada masa sama, MPRC menyarankan syarikat OGSE memperkukuh daya tahan melalui peluasan pasaran, kerjasama strategik, peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi serta pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin. 

“Syarikat juga digalakkan meneroka peluang dalam sektor peralihan tenaga seperti tenaga boleh baharu dan teknologi rendah karbon,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sehingga kini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menyokong pembangunan industri, terma­suk OGSE Development Grant yang melibatkan 100 syarikat dengan pulangan hasil sebanyak RM71 juta. 

“Selain itu, sebanyak RM40 juta pembiayaan telah diluluskan kepada syarikat OGSE, manakala 200 syarikat terlibat dalam program eksport dan 480 pekerja mahir telah disijilkan sejak 2023,” katanya.

Pada 2025, MPRC turut melaksanakan beberapa program di bawah siri libat urus industri termasuk Financial Strategies Programme yang melibatkan 177 syarikat bagi memperkukuh disiplin kewangan serta akses pembiayaan. 

“Program lain termasuk Growth Beyond OGSE Project Opportunity Engagement yang memberi tumpuan kepada peluang Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) dengan penyertaan 75 syarikat.

“Selain itu, melalui platform OGSE Technology Network (OGTEN), MPRC menerajui pembangunan teknologi tempatan melalui inisiatif Joint Industry Project (JIP) yang menggabungkan kerjasama industri, akademia dan kerajaan sebagai pemudah cara. Beberapa projek kini berada pada fasa pelaksanaan dengan pendanaan bersama awam dan industri, dianggarkan bernilai RM11 juta,” katanya.

MPRC berkata, transformasi industri tidak boleh bergantung kepada strategi bertahan semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada model perniagaan yang lebih kukuh, berpendapatan berulang, kos lebih terkawal serta berasaskan pasaran lebih luas.

“Ini termasuk penyertaan dalam rantaian nilai baharu seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga serta ekonomi kitaran, bagi memastikan industri OGSE Malaysia kekal berdaya tahan, kompetitif dan bersedia menghadapi kitaran pasaran yang tidak menentu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Yazid berkata, peranan MPRC adalah untuk memastikan industri OGSE Malaysia kekal relevan, berdaya tahan dan mampu mengambil peluang daripada peralihan tenaga. 

“Peranan ini sebahagian besarnya dijalankan melalui Pelan Tindakan OGSE.

“MPRC juga menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) khususnya dalam bidang yang mempunyai pertalian rapat dan memerlukan kepakaran industri OGSE seperti CCUS, tenaga boleh baharu, hidrogen, biotenaga dan kecekapan tenaga. 

“Ini boleh dilihat dalam inisiatif khusus di bawah Pelan Tindakan OGSE seperti inisiatif berkaitan meningkatkan kesedaran dan kadar pengamalan kelestarian di kalangan syarikat OGSE tempatan, sambil menggalakkan penyertaan syarikat OGSE memasuki peluang perniagaan di dalam industri tenaga boleh baharu melalui inisiatif seperti Growth Beyond OGSE.

“MPRC akan terus memberi tumpuan kepada tiga bidang strategik: pembangunan industri OGSE, peralihan tenaga, dan nasihat serta advokasi dasar minyak, gas dan tenaga. Antara strategi yang dikenal pasti ialah mempercepat pelaksanaan inisiatif

Pelan Tindakan OGSE, memangkin pertumbuhan dan pelaksanaan peralihan tenaga, memperdalam impak peralihan OGSE ke sektor tenaga serta memposisikan OGSE di barisan hadapan ekonomi rendah karbon global menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN