KUALA LUMPUR: Generasi baharu akan diberi ruang untuk mencorak masa depan UMNO sementara pemimpin kini memperkukuhkan asas dan tiang parti bagi membantu mereka.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak berhasrat untuk terus menerajui parti, dan mahu memberi ruang kepada generasi baharu untuk mengemudi UMNO.
“(dalam tempoh) 20 tahun dari sekarang kita akan merayakan ulang tahun UMNO yang ke-100, saya tidak tahu siapa yang jadi Presiden UMNO, ketika itu yang pasti saya tidak berhajat (untuk meneruskan), Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) saya tidak pasti.
“Kita serahkan kepada anak-anak muda untuk memimpin UMNO, zaman kita akan berlalu. Serahkan kepada mereka untuk menentukan bahawa 20 tahun akan datang, UMNO akan tetap terus kukuh dalam persada politik tanah air,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin UMNO ketika ini wajib memasti dan memperkasakan asas yang jelas, sambil bersulamkan pengajaran sejarah yang tuntas.
“Kita pemimpin sekarang mesti mempersiapkan UMNO dengan teras yang kemas agar generasi masa hadapan dapat menjadikannya sebagai landasan kukuh untuk berbakti dan berkhidmat pada ummah dan negara.
“Ini saya juga akan letakkan kepada alumni Sekolah Patriotik UMNO (SPU) untuk melaksanakan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, selain memastikan tiang dan dinding UMNO diperkukuhkan, bumbungnya juga perlu dipastikan tidak bocor.
“Ini bukan hanya berkisahkan tentang memenangkan pilihan raya semata-mata tetapi untuk melahirkan pewaris bangsa yang penuh roh dan jiwa kemelayuannya.
“Kejayaan sesebuah perjuangan tidak hanya diukur pada kekuatan institusi tetapi kualiti manusia yang dibentuk untuk membina agama bangsa dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap UMNO menjelang 20 tahun akan datang, membantu membentuk golongan Melayu yang mentaati agama dan terus berpegang teguh kepada bangsa.
“Saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keIslamannya, Melayu yang benar-benar memahami rukun agama dan tidak terpisah dari jasad serta rohnya.
“Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, menjaga maruah, tinggi adab dan mulia ahklaknya. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi inventor, mencipta idea serta nilai.
“Saya mengimpikan Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara,” katanya. – UTUSAN










