Zon penampan 300 meter lindungi Bukit Kiara - Hannah

Zon penampan 300 meter lindungi Bukit Kiara – Hannah

HANNAH Yeoh (2 dari kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud (tengah) ketika Program Hari Bumi di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Zon penampan minimum sejauh 300 meter akan diwujudkan di bahagian hadapan Taman Persekutuan Bukit Kiara bagi mengurangkan impak cadangan pembangunan di kawasan bersebelahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, rundingan segera dengan Pemilik Tanah A sudah dimulakan susulan kebimbangan terhadap kerja pembersihan tanah di kawasan itu.

“Hasil daripada rundingan bersama pemilik tanah terbabit, bersetuju untuk menghormati zon penampan yang diumumkan kerajaan hari ini.

“Langkah itu penting bagi memperkukuh perlindungan biodiversiti taman tersebut selain memastikan kejadian banjir lumpur tidak berulang,” katanya selepas Program Hari Bumi di Taman Persekutuan Bukit Kiara, hari ini.

Program Hari Bumi itu turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Presiden Friends of Bukit Kiara, Leon Koay, selain menyaksikan pelancaran Buku Kecil Bukit Kiara Edisi Kedua.

Zon penampan itu dibangkitkan selepas Friends of Bukit Kiara (FoBK) mengadakan sesi town hall bersama penduduk Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada 12 April lalu berhubung kesan cadangan pembangunan di tapak bersebelahan oleh Pemilik Tanah A.

Pada 18 April lalu, kejadian banjir lumpur dilaporkan berlaku di tapak projek pejabat zon pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara susulan hujan lebat selepas pokok di kawasan itu ditebang oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilantik Jabatan Landskap Negara.

Hannah berkata, pemilik tanah lain di sekitar Bukit Kiara juga perlu berunding dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum mengemukakan cadangan pembangunan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pembangunan berhampiran taman tidak menjejaskan kawasan hijau dan tidak mencetuskan semula risiko banjir lumpur.

“Kita mahu pastikan kawasan sekitar taman ini dilindungi walaupun sebarang permohonan pembangunan dikemukakan,” katanya.

Bukit Kiara yang diwartakan pada 2019 sebagai taman persekutuan pertama di Malaysia kekal sebagai kawasan hijau penting kepada ibu kota.

Kawasan itu menjadi habitat hidupan liar termasuk kelip-kelip, selain menjadi lokasi rekreasi kepada penduduk bandar dengan lebih 4,000 pengunjung setiap hujung minggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×