Aminudin cemar imej UMNO - Jalaluddin 

Aminudin cemar imej UMNO – Jalaluddin 

JALALUDDIN Alias berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun dalam mengurus institusi adat didakwa mencemarkan imej UMNO hingga menyebabkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri melanggar ‘garis merah’ yang ditetapkan apabila gagal mengurus institusi adat secara cermat.

Beliau berkata, Aminudin seharusnya membawa isu tersebut ke perbincangan dan mengambil tanggungjawab secara bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Betul Menteri Besar mempunyai final say tetapi dalam soal yang berkaitan kedaulatan undang-undang dan adat, tidak boleh dibuat main tetapi Aminudin membuat keputusan sendiri sehingga mencemarkan imej UMNO dan BN Negeri Sembilan.

“UMNO rasa sangat kecewa apabila Menteri Besar Negeri Sembilan secara terang-terangan mencampuri urusan adat dan gagal menangani krisis dengan baik serta mengambil mudah perkara yang berlaku. Mana UMNO nak letak muka?” katanya berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, UMNO Negeri Sembilan mengambil pendirian tegas selepas berlakunya percanggahan melibatkan kenyataan dan tindakan berkaitan institusi adat, termasuk isu pemecatan Undang Luak yang mencetuskan polemik.

“UMNO tidak boleh menerima apabila perkara berkaitan kedaulatan, undang-undang dan adat dipermainkan. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal prinsip,” katanya.

Tambahnya, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan dibuat selepas menilai situasi secara menyeluruh termasuk pandangan akar umbi.

Katanya, rakyat khususnya di negeri itu mempersoalkan pendirian UMNO apabila isu institusi adat menjadi perdebatan terbuka sehingga mencetuskan kekeliruan.

“UMNO tidak meminta campur tangan kerajaan, tetapi kita mahu krisis ini ditangani dengan bijaksana. Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan untuk menyatukan keadaan, bukan sebaliknya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO kekal komited mempertahankan prinsip perjuangan walaupun tidak lagi dominan dan terpaksa bekerjasama dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan.

“Perjuangan ini bukan mudah. Jalannya panjang dan penuh cabaran, tetapi kita tidak boleh berkompromi dalam soal prinsip,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini