Jangan jadikan kemajmukan Malaysia sekadar hiasan

Jangan jadikan kemajmukan Malaysia sekadar hiasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA keunikan negara ini yang sering dijadikan komoditi untuk menarik pelancong asing ialah kemajmukan yang wujud. 

Kemajmukan bukan hanya dari sudut kepelbagaian kaum, agama, makanan, bahasa dan budaya.

Sekiranya direnungkan, masih banyak aspek kepelbagaian dan kemajmukan yang kurang diberi perhatian, dihayati dan dihargai oleh kita sendiri yang lahir dan membesar di sini.

Saya secara peribadi amat kecewa dan marah apabila berita, iklan serta promosi di radio, televisyen dan media sosial menyebut rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Kita seolah-olah tidak menyedari malah tidak mahu mengiktiraf kewujudan Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Malah, sebagaimana saya terangkan menerusi beberapa tulisan di kolum ini sejak Julai 2020, kategori Melayu, Cina dan India juga masih terlalu umum dan tidak menggambarkan realiti kepelbagaian yang benar-benar wujud.

Misalnya, kaum India tidak berciri homogen kerana masing-masing keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali dan sebagainya ada bahasa, budaya, perayaan, amalan, pakaian serta adat resam tersendiri.

Begitulah juga halnya dengan kaum Cina yang terdiri daripada etnik Hokkien, Teochew, Kantonis, Hakka, Hainan, Foochow dan beberapa lagi. Malah, walaupun dikategori sebagai kaum Melayu, usah kita lupa identiti dan jati diri Jawa, Minangkabau, Bugis, Batak, Riau, Rawa dan seumpamanya yang masih dipertahankan.

Tidak terkecuali juga Orang Asli yang terdiri daripada tiga kumpulan besar iaitu Senoi, Melayu-Proto dan Semang. Malah, kumpulan itu pula terbahagi kepada pelbagai suku kaum dengan sejarah, identiti dan budaya tersendiri.

Perkara sama dapat diperhatikan dalam kalangan bangsa Dayak, Melanau, Penan dan Kedayan di Sarawak serta Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan Rungus di Sabah.

Sebagaimana dinyatakan, kita masih belum berpeluang mengenali kepelbagaian etnik, keturunan, budaya dan adat yang tersaji di depan mata.

Tentulah tiada gunanya kita menuding jari kepada mana-mana pihak dalam hal ini. Sebaliknya, lebih baik jika kita mengambil inisiatif untuk segera mengenali masyarakat majmuk di Malaysia.

Mungkin pula akan ada pertanyaan, apakah faedah mengambil tahu tentang budaya, adat, amalan dan anutan kelompok minoriti? Sebenarnya, memang ada banyak kelebihan dan kebaikan yang mampu memberi kesan positif secara langsung dan tidak langsung.

Sesungguhnya, kemajmukan yang wujud di Malaysia bukan sekadar bahan hiasan pada risalah pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia. Apabila generasi muda mengambil inisiatif mengenali sejarah, budaya, amalan dan cara hidup pelbagai etnik, mereka sebenarnya sedang membina asas kukuh bagi masa depan negara.

Pertama, kesedaran terhadap kepelbagaian ini mampu memupuk sifat empati yang tulen. Empati tidak lahir daripada slogan atau kempen bermusim, sebaliknya daripada kefahaman mendalam terhadap pengalaman orang lain.

Apabila seorang anak muda memahami mengapa sesuatu adat diamalkan oleh komuniti tertentu atau bagaimana sejarah membentuk identiti sesuatu kelompok, maka lahirlah rasa hormat yang tidak dipaksa. 

Empati ini seterusnya menjadi benteng terhadap prasangka dan stereotaip yang sering meracuni hubungan antara kaum.

Kedua, pendedahan kepada kepelbagaian budaya mampu memperkayakan pemikiran dan memperluaskan horizon pemikiran. Setiap etnik memiliki khazanah ilmu, falsafah hidup dan pandangan dunia yang berbeza.

Dengan mengenali, memahami dan menghormati kepelbagaian ini, generasi muda tidak lagi terperangkap dalam cara berfikir yang sempit atau mudah dimanipulasi pihak tertentu.

Sebaliknya, mereka menjadi individu yang lebih terbuka, kritis dan kreatif. Ciri-ciri ini mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya amat penting dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Ketiga, kefahaman terhadap kepelbagaian etnik boleh membantu memperkukuh identiti nasional yang lebih inklusif. 

Selama ini, identiti Malaysia sering disederhanakan kepada beberapa kategori besar yang tidak mencerminkan realiti sebenar penduduk Malaysia. Iklan di radio dan televisyen menjadi bukti kepada realiti yang menyedihkan ini. 

Apabila generasi muda sedar identiti negara ini terbina daripada ratusan lapisan budaya dan sejarah, maka mereka akan lebih cenderung mempertahankan kepelbagaian tersebut sebagai kekuatan, bukan sebagai kelemahan.

Kesedaran ini seterusnya akan menyumbang pula kepada kestabilan sosial dan keharmonian jangka panjang. Barulah kita boleh berbangga dengan slogan ‘pupuk perpaduan, raikan kepelbagaian’ dan ‘harmoni dalam kepelbagaian’.

Keempat, pengetahuan tentang adat dan amalan pelbagai komuniti pasti membuka ruang interaksi sosial yang lebih bermakna dalam kalangan generasi muda. Hubungan antara individu tidak lagi bersifat pada permukaan (superficial), sekadar formaliti atau bukan dari hati.

Sebaliknya, interaksi akan menjadi lebih ikhlas dan mendalam apabila seseorang tahu batas, sensitiviti dan nilai yang dipegang oleh orang lain. 

Dalam jangka panjang, semua ini boleh membantu mengurangkan konflik yang berpunca daripada salah faham budaya, sekali gus membina Bangsa Malaysia yang lebih matang dan bertolak ansur.

 

 

SEMAI RASA TANGGUNGJAWAB

Sikap mengenali, memahami dan menghormati kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat majmuk mampu menyemai rasa tanggungjawab ke arah memelihara warisan dan budaya. Rasa tanggungjawab itu bukan hanya terhadap budaya komuniti sendiri tetapi juga terhadap komuniti lain.

Kita memang sedia maklum bagaimana banyak tradisi, bahasa dan amalan etnik minoriti kini berada di ambang kepupusan akibat kurangnya perhatian.

Generasi muda yang sedar akan nilai warisan diharap akan terdorong dan terbuka hati untuk mendokumentasi, memelihara dan memartabatkannya sebelum terlewat.

Usaha yang dinyatakan di atas bukan sahaja penting untuk komuniti terbabit, malah juga bagi memastikan Malaysia terus dikenali sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya asli dan pelbagai.

Dalam pada itu, langkah mengenali kepelbagaian etnik dan subetnik di Malaysia bukan sekadar aktiviti sampingan atau program kecil pada peringkat sekolah rendah. Sebaliknya perlu dijadikan misi sepanjang hayat tanpa perlu menunggu cadangan dan kempen oleh agensi kerajaan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×