Raja Charles bertemu Trump 'baiki' hubungan dua hala

Raja Charles bertemu Trump ‘baiki’ hubungan dua hala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Raja Britain, Raja Charles III, bertemu Donald Trump di Rumah Putih semalam, memulakan lawatan negara berisiko tinggi yang dibayangi ketegangan transatlantik serta dakwaan cubaan baharu untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Di sebalik sambutan mesra yang diberikan kepada Raja Charles dan Permaisuri Camilla di hadapan kamera, hubungan yang sering digelar sebagai ‘istimewa’ antara Washington dan London dilihat semakin renggang susulan perang melibatkan Iran.

Dalam suasana ketegangan yang masih memuncak, Raja Charles dijadual menyampaikan ucapan di hadapan sidang bersama Kongres pada Selasa, dengan baginda dijangka memberitahu wakil rakyat AS bahawa sejarah panjang hubungan antara kedua-dua negara adalah kisah tentang ‘pendamaian dan pembaharuan’, menurut petikan ucapan yang dikeluarkan.

Raja Charles dan Trump dilihat berjabat tangan serta bertukar kata-kata mesra di luar South Portico Rumah Putih, namun perbualan mereka tidak dapat didengar oleh wartawan yang berada di lokasi.

Wanita Pertama, Melania Trump, yang mengenakan sut kuning primrose, turut menyambut Raja Charles dan Camilla dengan ciuman di kedua-dua pipi.

Camilla pula tampil dengan kerongsang Cartier yang memaparkan bendera Britain dan AS, diperbuat daripada platinum serta dihiasi batu delima, zamrud dan berlian.

Trump, yang sememangnya diketahui mempunyai minat mendalam terhadap keluarga diraja Britain, sesuatu yang sering menjadi kelebihan diplomatik bagi wakil United Kingdom, bersama isterinya menjadi tuan rumah kepada pasangan diraja itu untuk minum petang sebelum membawa mereka melawat sarang lebah di South Lawn Rumah Putih yang dijaga rapi.

Selepas itu, pasangan diraja berkenaan menghadiri majlis taman yang dihadiri ratusan tetamu di kediaman duta Britain, termasuk juara terjun Olimpik Britain, Tom Daley, Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike Johnson serta beberapa kenamaan politik lain.

Lawatan selama empat hari itu pada asalnya bertujuan meraikan hubungan bersejarah antara dua sekutu rapat berkenaan sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS daripada pemerintah nenek moyang Raja Britain, George III.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, berkata pada Isnin bahawa lawatan itu akan ‘menghormati hubungan yang telah lama terjalin dan istimewa’ antara kedua-dua negara.

Namun, lawatan berkenaan akhirnya menyaksikan Raja Charles, 77, perlu memainkan peranan diplomasi yang lebih intensif selepas Trump, 79, secara terbuka mengkritik keengganan London membantu Washington dalam konflik Iran.

Lawatan diraja itu juga diteruskan meskipun insiden tembakan berlaku pada Sabtu ketika majlis makan malam glamor Persatuan Wartawan Rumah Putih yang dihadiri Trump. Suspek yang didakwa cuba membunuh presiden itu dihadapkan ke mahkamah pada Isnin.

Susulan insiden itu, lawatan yang sememangnya dirancang rapi dengan liputan media yang terhad bagi mengelakkan situasi di luar jangka kini berlangsung di bawah kawalan keselamatan yang lebih ketat berbanding sebelumnya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×