DUBAI: Penghantaran pertama gas asli cecair (LNG) sejak perang di Asia Barat tercetus dua bulan lalu dilaporkan merentasi Selat Hormuz untuk keluar dari Teluk Parsi.
Kapal tangki Mubaraz, yang memuatkan kargo dari kemudahan Das Island milik Abu Dhabi National Oil di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal Mac, kini dikesan sedang melalui hujung selatan India, berdasarkan data penjejakan kapal.
Data itu menunjukkan kapal berkenaan sebelum ini berlegar di dalam Teluk sebelum berhenti menghantar isyarat sekitar 31 Mac. Ia kemudian muncul semula di timur India pada 27 April.
Pasaran tenaga global kini memberi tumpuan penuh kepada pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, yang hampir terhenti sepenuhnya sejak dua bulan lalu susulan sekatan saling berbalas yang dikenakan oleh Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Penutupan laluan perairan yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan LNG dunia itu mengetatkan pasaran, sekali gus mendorong harga meningkat dengan ketara.
Mematikan transponder ketika melalui Selat Hormuz merupakan taktik lazim digunakan kapal bagi mengelakkan pengesanan, selain data penjejakan kapal juga boleh diganggu atau dikemas kini dari semasa ke semasa.
ADNOC, yang memiliki kapal tersebut menerusi satu unit syarikatnya, tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Ketika ini, Mubaraz memberi isyarat bahawa sebuah terminal di China merupakan destinasi pelayarannya.
Pada awal April, data penjejakan turut menunjukkan sebuah kapal tangki LNG kosong keluar dari Selat Hormuz.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kapal yang membawa muatan bahan api itu disahkan berjaya melalui laluan berkenaan. Beberapa kapal yang membawa LNG dari Qatar dilaporkan menghampiri selat itu, namun berpatah balik susulan ketegangan berterusan antara AS dan Iran.- BLOOMBERG











