FOKUS Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) jelas dan tidak berselindung iaitu bertanding untuk menang, dengan sasaran satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui strategi yang lebih realistik dan berfokus. Itu tegas Presidennya, DATUK DR. DOMINIC LAU.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau berkata, politik tidak boleh lagi berlegar pada angka penyertaan semata-mata, sebaliknya menuntut keberanian, perancangan dan keupayaan membaca kekuatan di lapangan.
Atas asas itu, Gerakan memilih untuk menumpukan sumber pada kawasan yang berpotensi menang dalam kerangka Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, Gerakan tegas mengatakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mesti dihadapi tanpa helah atau penangguhan yang bercanggah dengan roh demokrasi hanya kerana tidak yakin untuk menang.
Temu bual ini turut disertai jurufoto, MUHAMAD IQBAL ROSLI dan jurukamera, FARIS MD. IDERIS.
UTUSAN : Bagaimana prestasi Gerakan ketika ini?
DOMINIC : Persepsi umum mengatakan Gerakan ialah sebuah parti kaum Cina tapi sebenarnya tidak tepat. Sejak awal penubuhannya, Gerakan tampil sebagai parti politik berteraskan bukan perkauman.
Gerakan komited untuk memperjuangkan hak dan kepentingan seluruh rakyat, sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli, demi kesejahteraan bersama.
Berdasarkan pemerhatian di pelbagai majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) serta peringkat negeri dan bahagian, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Lebih menarik, kehadiran orang ramai mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Kita melihat penyertaan rakyat daripada pelbagai kaum yang hadir. Situasi ini memberi gambaran PN semakin diterima sebagai gabungan yang merentasi kaum dan mewakili suara rakyat secara menyeluruh.
Jika kehadiran ramai ini diterjemahkan sebagai sokongan politik, maka PN berada di landasan yang tepat untuk menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada. Namun begitu, kejayaan ini bergantung kepada keupayaan semua parti dalam PN untuk mengekalkan perpaduan dan menunjukkan kesatuan yang kukuh kepada rakyat.
Perpaduan antara komponen parti perlu sentiasa diperkasakan agar rakyat yakin PN mampu mentadbir negara dengan baik.
Selain itu, PN juga perlu menawarkan harapan yang jelas kepada rakyat. Gabungan ini mesti membuktikan keupayaan dalam mengurus negara serta menyelesaikan isu-isu semasa yang membebankan rakyat.
Dalam banyak pertemuan bersama masyarakat, kita mendengar sendiri keluhan dan kekecewaan rakyat terhadap kerajaan sekarang. Mereka melihat banyak janji yang tidak tertunai serta penyelesaian yang tidak memuaskan terhadap masalah yang dihadapi, termasuk isu kos sara hidup dan krisis bekalan tertentu.
Hakikatnya, rakyat kini mahukan kepimpinan yang bukan sahaja pandai berbicara tetapi juga mampu bertindak dan menyelesaikan masalah secara berkesan. Oleh itu, PN perlu tampil sebagai gabungan yang bersatu, berwibawa dan kompeten.
Adakah penurunan sokongan pengundi Cina kepada DAP dalam PRN Sabah membuka peluang kepada Gerakan walaupun masih dilabel parti Cina?
Memang selepas PRN Sabah, kita melihat keputusan yang jelas apabila DAP tewas di semua kerusi yang ditandingi. Keputusan ini mendorong kita membuat analisis sama ada momentum tersebut akan berterusan ke Semenanjung Malaysia.
Hasil pertemuan dan interaksi dengan rakyat, khususnya masyarakat Cina, kita dapati wujud rasa tidak puas hati terhadap Pakatan Harapan (PH) dan DAP. Ramai merasakan janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak ditunaikan. Dalam beberapa isu besar, mereka juga melihat DAP tidak memainkan peranan yang diharapkan walaupun mempunyai bilangan ahli Parlimen signifikan.
Contoh, isu penutupan kawasan penternakan babi di Selangor yang memberi kesan besar kepada masyarakat Cina menimbulkan persoalan tentang pendirian DAP. Dahulu, ketika berada di pihak pembangkang, mereka lantang mempertahankan isu tersebut. Namun kini, apabila berada dalam kerajaan, respons yang diberikan dilihat kurang tegas. Keadaan ini menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan rakyat.
Selain itu, isu pendidikan turut menjadi perhatian. Masyarakat Cina amat menitikberatkan pendidikan, namun perkara seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang pernah dijanjikan masih belum direalisasikan. Begitu juga dengan isu peluang pendidikan bagi pelajar cemerlang dalam STPM yang dilihat tidak ditangani dengan memuaskan.
Perkembangan ini menunjukkan wujudnya perubahan sentimen dalam kalangan pengundi dan kita melihat kemungkinan momentum ini berterusan ke Semenanjung Malaysia. Oleh itu, Gerakan mengambil langkah bersedia lebih awal untuk menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk PRN Melaka, Johor dan PRU16.
Dari segi persiapan, kita memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera parti. Kita mula menyusun strategi kempen, mengenal pasti kawasan yang berpotensi dan membina kekuatan di peringkat akar umbi. Sebagai langkah awal, kita menggerakkan seluruh jentera untuk memberi tumpuan kepada PRN Melaka.
Persediaan ini sudah dilakukan lebih awal dengan memastikan jentera parti turun ke lapangan untuk memahami demografi pengundi, mengenal pasti kawasan sasaran dan menyusun gerak kerja secara sistematik.
Dengan persiapan yang rapi dan tersusun, kita yakin Gerakan mampu menawarkan alternatif yang lebih meyakinkan kepada rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Adakah penurunan sokongan pengundi Cina kepada DAP akan lebih menguntungkan MCA berbanding Gerakan?
Kita kembali kepada situasi PRU15 apabila sokongan pengundi Cina terhadap DAP berada pada tahap sekitar 95%. Ketika itu, hampir keseluruhan undi masyarakat Cina tidak diberikan kepada Gerakan atau MCA.
Namun, berdasarkan pemerhatian dalam PRN Sabah, apabila DAP tewas di semua kerusi yang ditandingi, kita membuat kesimpulan awal bahawa sokongan 95% tersebut sudah tidak lagi kekal. Kita anggarkan sokongan kepada DAP mungkin menurun kepada sekitar 70% hingga 80%. Walaupun begitu, masih terdapat kira-kira 20% hingga 30% pengundi Cina yang tidak lagi menyokong DAP.
Persoalannya kini ialah ke mana hala tuju kelompok 20% hingga 30% ini? Berdasarkan kajian dan maklum balas lapangan, kita melihat sebahagian besar daripada mereka tidak keluar mengundi atau tidak memberikan sokongan kepada mana-mana parti, termasuk Gerakan dan MCA. Kita akui pada peringkat ini, kedua-dua parti masih belum mampu menarik kumpulan tersebut secara signifikan.
Namun, situasi ini menjadi tanggungjawab untuk menggerakkan usaha mendekati pengundi yang tidak keluar mengundi. Kita perlu mengubah sikap pasif mereka supaya kembali menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
Dalam masa sama, kita juga perlu menangani persepsi negatif terhadap beberapa parti dalam kerangka politik semasa. Kita faham terdapat kebimbangan tertentu dalam kalangan pengundi, termasuk terhadap Pas dalam konteks kerjasama politik yang lebih luas. Oleh itu, usaha penerangan dan pendekatan inklusif perlu diperkukuh bagi mengurangkan salah faham tersebut.
Pada masa ini, kita turut melihat beberapa perubahan sentimen di peringkat negeri seperti Pulau Pinang, apabila sebahagian pengundi mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap janji yang tidak ditunaikan selepas beberapa penggal pentadbiran.
Dalam menghadapi PRU16, kita sedar tiada satu parti pun boleh bergantung kepada sokongan satu kaum sahaja. Kemenangan hanya boleh dicapai jika kita memperoleh sokongan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Gerakan bersama rakan dalam gabungan perlu memperkukuh perpaduan dalaman, memperjelas hala tuju politik serta menyampaikan mesej yang lebih meyakinkan kepada rakyat. Di bawah kepimpinan baharu, kita akan memperkemas pendekatan, menyelaraskan pendirian dan memperkukuh komunikasi dengan rakyat.
Matlamat kita jelas untuk membuktikan kita mampu menawarkan pentadbiran yang lebih baik, stabil dan meyakinkan berbanding kerajaan sedia ada.
Apakah pandangan Datuk mengenai Pas? Bagaimana Datuk menggambarkan parti tersebut, khususnya dari segi keterbukaan?
Bagi saya, semua agama pada asasnya mengajar manusia untuk menjadi insan yang baik. Cuma pendekatannya sahaja yang berbeza. Dalam konteks politik pula, Pas berasaskan panduan Islam, UMNO berteraskan kaum Melayu, manakala Gerakan pula merupakan parti politik bukan berasaskan kaum.
Tidak salah mana-mana parti untuk memperjuangkan hak masing-masing. Setiap parti mempunyai asas dan identiti tersendiri dalam perjuangan politik. Namun, bagi Gerakan, pendirian kami jelas iaitu dalam memperjuangkan hak mana-mana kaum, sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain, ia tidak boleh sampai menjejaskan atau mempengaruhi hak kaum yang lain. Prinsip ini menjadi asas penting dalam pendekatan kami.
Dalam PN kita menerima kepelbagaian ini sebagai kekuatan. Kita menggunakan persefahaman yang wujud untuk bergerak ke hadapan secara bersama tanpa menjejaskan prinsip masing-masing.
Bagaimana Datuk melihat kemasukan MIC ke dalam PN? Adakah ia memberi kesan kepada Gerakan?
Bagi Gerakan, pendirian kami jelas. Kita membincangkan perkara ini secara dalaman. Kita bukan sahaja terbuka kepada MIC, malah juga MCA jika mereka ingin bersama dalam PN. Kita mengalu-alukan mana-mana parti yang ingin memperkukuh PN kerana matlamat utama kita adalah untuk menang dan membentuk kerajaan yang stabil.
Jika MIC atau MCA ingin menyertai PN, kita tidak mempunyai masalah. Malah, kita melihat ia sebagai satu kekuatan tambahan kepada gabungan. Dahulu pun, kita pernah bekerjasama dalam satu kerangka politik yang sama, jadi ia bukan sesuatu yang asing.
Isu yang biasanya menjadi perhatian hanyalah berkaitan pembahagian kerusi dan kawasan bertanding. Perkara ini boleh dibincangkan secara bersama melalui rundingan antara parti komponen.
Gerakan sentiasa terbuka untuk memperkukuh PN. Apa sahaja langkah yang membawa kepada pengukuhan gabungan dan kemenangan dalam pilihan raya, kita akan pertimbangkan secara positif.
Ada atau tidak berhubung dengan pemimpin tertinggi MIC dan MCA?
Kami memang ada berhubung dengan pemimpin MIC secara berterusan, termasuk melalui beberapa pertemuan tidak rasmi seperti sambutan Deepavali baru-baru ini. Hubungan ini masih baik dan komunikasi sentiasa diteruskan.
Dalam perbincangan, kita turut berkongsi pandangan tentang kemungkinan MIC menyertai PN serta menjelaskan struktur dan peranan parti-parti dalam PN seperti Pas dan Bersatu supaya mereka lebih memahami keadaan sebenar.
Sebagai parti bukan berasaskan kaum, Gerakan bersikap terbuka. Kita tidak mempengaruhi keputusan mana-mana pihak dan menghormati sepenuhnya sama ada mereka mahu menyertai PN atau tidak.
Setakat ini, respons MIC adalah positif walaupun mereka masih mempunyai beberapa kebimbangan berkaitan realiti politik dalam PN. Kita memahami perkara itu dan melihatnya sebagai sebahagian daripada proses perbincangan.
Namun, fokus utama kita ialah memperkukuh PN dan memastikan kemenangan dalam PRU dan PRN akan datang kerana kekuatan sebenar terletak pada mandat rakyat.
Mungkin masih terlalu awal untuk bertanya, tetapi berapakah sasaran kerusi yang Gerakan mahu capai dalam PRN akan datang?
Jika dibandingkan dengan PRU dan PRN sebelum ini, Gerakan sebenarnya bertanding di banyak kerusi, malah lebih banyak berbanding ketika kami berada dalam Barisan Nasional (BN). Namun begitu, saya tidak mahu sekadar bertanding banyak kerusi tetapi akhirnya kalah di semua tempat.
Saya lebih memilih pendekatan yang fokus, iaitu bertanding di kerusi yang benar-benar berpotensi menang. Dalam strategi kali ini, kita akan menyalurkan sumber di kawasan yang mempunyai peluang kemenangan yang lebih tinggi.
Bagi kawasan lain, kita memberi ruang kepada peringkat negeri untuk menentukan penyertaan, sama ada sebagai pendedahan atau pengalaman kepada calon.
Di peringkat pusat, fokus kita jelas iaitu satu Parlimen dan dua DUN bagi setiap negeri. Ini bukan sekadar sasaran umum tetapi strategi utama dalam memastikan sumber tenaga dan jentera digunakan secara lebih berkesan.
Kita memilih untuk fokus dan menang bukannya bertanding banyak tetapi kalah semua. Ini adalah pendekatan realistik yang kita ambil untuk memastikan Gerakan lebih kuat dan berkesan dalam pilihan raya akan datang.
Adakah Gerakan memilih calon berdasarkan komposisi kaum atau potensi kemenangan?
Gerakan mempertimbangkan semua faktor, namun tetap berpegang kepada prinsip parti tidak berasaskan kaum. Pemilihan calon tidak dibuat untuk mewakili kaum tertentu, sebaliknya berdasarkan potensi kemenangan, keperibadian, populariti dan penerimaan masyarakat.
Sejak PRU15, Gerakan menampilkan calon pelbagai kaum di kawasan campuran sebagai cerminan kekuatan parti. Dalam PN, pemilihan calon tetap dibincangkan bersama, namun kini proses pembahagian kerusi dan pemuktamadan calon akan dilakukan lebih awal bagi memastikan persiapan lebih rapi.
Bagaimana melihat kemampuan Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu PN dalam berdepan kepimpinan kerajaan?
Pelantikan beliau dibuat secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi, sebagai tanda sokongan penuh terhadap kepimpinan beliau. Namun, perlu difahami beliau tidak berdepan Perdana Menteri seorang diri, sebaliknya didukung sepenuhnya oleh semua komponen dalam PN.
Kebimbangan beliau bukan berlatarbelakangkan politik juga tidak tepat. Rekod kepimpinannya di Terengganu membuktikan keupayaan apabila berjaya membawa kemenangan menyeluruh tanpa pembangkang, itu adalah ‘kad laporan’ yang jelas.
Di peringkat nasional, beliau juga tidak bersendirian. Sokongan padu daripada parti-parti komponen akan memperkukuh peranannya dalam menghadapi kerajaan. Malah, pelantikan beliau mencerminkan perubahan penting dalam pendekatan kepimpinan, apabila seorang teknokrat berkelayakan diketengahkan untuk memimpin.
Dengan kekuatan yang ada serta sokongan menyeluruh, beliau wajar diberi ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan, dan kami yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik.
Adakah Datuk Seri Hamzah Zainudin mampu terus memperkukuh PN jika kekal bersama gabungan itu?
Hamzah membuktikan peranannya sebagai Ketua Pembangkang yang lantang dan berkesan. Beliau memainkan peranan penting dalam PN, sebab itu dipilih untuk mewakili gabungan tersebut. Beliau menjalankan tugas dengan baik dan menjadi antara kekuatan utama parti.
Berhubung isu penyertaan ke PN, setakat ini tiada sebarang permohonan rasmi diterima. Namun, saya percaya kepimpinan PN dan semua parti komponen, akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan gabungan.
Pandangan Datuk secara peribadi?
Fokus utama ialah untuk memastikan kemenangan PN dan membentuk kerajaan. Dalam usaha ini, setiap kelemahan dalam gabungan perlu diperbaiki melalui kebijaksanaan dan perbincangan dalaman agar ia dapat ditukar menjadi kekuatan.
Gerakan tidak mencampuri urusan politik parti lain dalam gabungan. Setiap parti perlu menyelesaikan masalah tanpa campur tangan pihak lain, kerana kami menghormati autonomi dan politik dalaman masing-masing.
Pada masa sama, kami juga mengharapkan perkara sama dihormati terhadap Gerakan. Fokus kita adalah memperkukuh gabungan, bukan mencampuri urusan dalaman parti lain.
Komen tentang sikap segelintir pemimpin DAP yang mahu tangguh PRN atas alasan darurat?
Pertama, PRN Melaka tidak boleh dielakkan dan mesti dihadapi. Kedua, setiap pihak perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Ketiga, kebimbangan terhadap kemungkinan kekalahan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelak daripada bertanding.
PRN yang ditetapkan dalam kerangka perlembagaan tidak wajar ditangguhkan dengan menggunakan alasan darurat, kecuali dalam keadaan luar biasa seperti pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar kepada keselamatan rakyat.
Cadangan untuk menangguhkan PRN Melaka atas alasan tersebut tidak berasas dan tidak selari dengan prinsip demokrasi pilihan raya.










