REHDA Institute perkasa kesiapsiagaan tenaga kerja melalui RIYI 2026

REHDA Institute perkasa kesiapsiagaan tenaga kerja melalui RIYI 2026

JEFFREY Ng Tiong Lip (hadapan empat dari kanan) semasa sesi mentor korporat pertama REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: REHDA Institute memperkukuh agenda kesiapsiagaan tenaga kerja negara menerusi REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026 apabila menganjurkan sesi mentor korporat pertamanya baru-baru ini.

Program itu menghimpunkan kira-kira 50 pelajar terpilih daripada lebih 15 universiti seluruh negara bagi berinteraksi secara langsung dengan pemimpin industri kanan dalam sektor persekitaran binaan.

Pengerusi REHDA Institute, Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, RIYI bukan sekadar program mentor, sebaliknya satu respons strategik terhadap cabaran kemahiran yang semakin berkembang di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melalui gabungan bimbingan berstruktur dan pendedahan industri secara praktikal, RIYI mampu merapatkan jurang kemahiran kritikal, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyokong perkembangan kerjaya lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AYER Holdings Berhad berkata, inisiatif itu turut membantu memastikan daya saing negara serta keupayaan pelaksanaan projek terus terpelihara dalam tempoh jangka panjang.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada program berstruktur yang merangkumi tiga sesi sepanjang 2026, bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sementara itu, Pengerusi Likei Logistics Services Bhd. dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif TalentCorp Malaysia, Chan Leng Wai berkata, kebolehpasaran bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya membina saluran kepimpinan masa depan.

“Sesi seperti RIYI memberi peluang kepada majikan mengenal pasti bakat lebih awal serta membentuk graduan mengikut keperluan sebenar industri,” katanya.

RIYI diperkenalkan semasa REHDA Institute CEO Series pada Januari lalu dan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebagai usaha merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan industri.

Sesi pertama program mentor tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai jangkaan awal kerjaya, laluan profesional serta pandangan praktikal bagi memudahkan peralihan daripada dunia akademik ke alam pekerjaan.

Peserta turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan mentor korporat serta memahami peranan pelbagai fungsi dalam ekosistem persekitaran binaan.

Program itu juga bertujuan menangani isu pengangguran tidak penuh dalam kalangan graduan serta ketidakpadanan antara jangkaan graduan dan keperluan majikan.

Usaha berkenaan dilaksanakan ketika peningkatan kebolehpasaran graduan kekal menjadi keutamaan negara.

Menurut laporan Graduates Statistics 2024 oleh Department of Statistics Malaysia, kadar pengangguran graduan menurun kepada sekitar 3.2 peratus, namun lebih 1.6 juta graduan masih berada dalam kategori pekerjaan tidak setara dengan kemahiran.

Dalam masa sama, ekosistem pembinaan dan persekitaran binaan menggaji lebih 300,000 graduan di seluruh negara serta menyokong lebih 140 industri huluan dan hiliran.

Sesi kedua dan ketiga program dijadualkan berlangsung pada Jun dan September, dengan tumpuan kepada pembangunan minda produktiviti, laluan kemajuan kerjaya serta kesiapsiagaan kepimpinan jangka panjang.

Antara universiti terlibat termasuk Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA, UCSI University dan Monash University Malaysia.

Canselor University of Wollongong Malaysia, Datuk Seri Dr Michael KC Yam, berkata universiti memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah bersedia menghadapi keperluan industri.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama REHDA Youth serta disokong rakan korporat termasuk Sime Darby Property, Paramount Property dan Avaland.

Ke hadapan, REHDA Institute menyasarkan RIYI sebagai program tahunan peringkat nasional dengan penyertaan lebih meluas melibatkan universiti dan pelajar di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini