Bateriku, SVOLT jalin kerjasama strategik perkukuh sokongan EV

Bateriku, SVOLT jalin kerjasama strategik perkukuh sokongan EV

YINGTAO Hao (kiri) dan Azarol Faizi selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di Jiangsu, China, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bateriku menjalinkan kerjasama strategik bersama pengeluar bateri kenderaan elektrik (EV) global, SVOLT Energy Technology Co. Ltd. (SVOLT) bagi mempercepat pembangunan ekosistem sokongan selepas jualan EV di Malaysia.

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan pemilik kenderaan terhadap penggunaan EV melalui penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, diagnosis dan sokongan teknikal yang lebih khusus serta boleh dipercayai.

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi berkata, kerjasama itu bukan sekadar memperluaskan keupayaan syarikat dalam segmen EV, malah memastikan ketersediaan sokongan selepas jualan yang cekap dan pantas bagi pengguna tempatan.

“Kerjasama ini membolehkan kami membawa keyakinan kepada pemilik EV di Malaysia bahawa sokongan selepas jualan sentiasa tersedia untuk mereka,” katanya dalam kenyataan.

SVOLT merupakan pemain utama teknologi bateri yang membekalkan komponen kepada jenama global seperti Geely dan Great Wall Motors, selain membekalkan teknologi bateri untuk model Proton e.MAS 7 di pasaran tempatan.

Melalui kerjasama ini, Bateriku akan memperluaskan kapabiliti perkhidmatan merangkumi diagnosis menyeluruh sistem bateri, sokongan teknikal di lapangan serta perkhidmatan penggantian bateri yang lebih tersusun.

Selain itu, kedua-dua pihak memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui program latihan dan peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja tempatan mahir mengendalikan teknologi bateri masa depan.

Sementara itu, Pengarah SVOLT, Yingtao Hao berkata, gandingan teknologi bateri syarikat bersama kekuatan rangkaian Bateriku akan memberikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan selamat.

“Kami yakin kerjasama ini menjadi pemangkin utama dalam mempercepat penerimaan kenderaan elektrik di Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah mobiliti yang lebih hijau dan mampan,” katanya, 

Majlis menandatangani kerjasama tersebut berlangsung di fasiliti SVOLT di Daerah Jintan, Changzhou, Wilayah Jiangsu, China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×