NADOR: Pihak berkuasa di bandar Nador, Maghribi, didakwa terlibat dalam pembunuhan besar-besaran anjing liar menjelang Piala Dunia FIFA 2030, dengan imej mengejutkan menunjukkan darah memenuhi jalanan dan kehadiran lelaki bersenjata di kawasan kejadian.
Dianggarkan kira-kira tiga juta anjing liar hidup di jalanan Maghribi.
Gabungan Perlindungan Kebajikan Haiwan Antarabangsa (IAWPC) berkongsi beberapa imej mengejutkan, mendakwa persiapan menjelang Piala Dunia FIFA 2030 dicemari adegan keganasan.
Jurucakap IAWPC berkata, keterangan saksi menggambarkan bagaimana pihak berkuasa tempatan menyerbu kawasan perumahan pada awal pagi sebelum melepaskan tembakan ke arah haiwan yang disifatkan sebagai ‘kekejaman’.
Seorang saksi wanita yang enggan dinamakan mendakwa menyaksikan kejadian mengerikan itu dari tingkap rumahnya.
Dia turut mendakwa terdapat dua insiden tembakan dilaporkan minggu lalu, masing-masing pada Selasa dan Khamis.
Seorang jurucakap FIFA sebelum ini dilaporkan berkata, semasa bidaan untuk Piala Dunia 2030, Maghribi menekankan komitmennya terhadap kebajikan haiwan, dengan memetik usaha kerajaan memperluaskan klinik serta program sokongan bagi anjing jalanan.
FIFA berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan IAWPC, yang mengumpulkan panel global terdiri daripada pakar undang-undang dan kebajikan haiwan bagi menilai draf peraturan Maghribi.
Sementara itu, Kedutaan Maghribi di London menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada sebarang program pemusnahan anjing liar, sebaliknya merujuk komitmen negara itu terhadap pengurusan haiwan yang berperikemanusiaan.
“Adalah sama sekali tidak benar Maghribi merancang untuk memusnahkan anjing liar menjelang Piala Dunia FIFA 2030,” katanya.- AGENSI











