Pegawai kanan antara 10 ditahan bantu seludup warga asing

Pegawai kanan antara 10 ditahan bantu seludup warga asing

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara 10 individu ditahan kerana dipercayai terlibat membantu sindiket menyeludup warga asing sehingga mengakibatkan ketirisan hasil negara dianggarkan RM4.1 juta.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Toyu yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama JIM Kedah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Katanya, hasil risikan selama sebulan itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan termasuk seorang ‘transporter’ serta seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai ejen dikenali ‘Toyu’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Turut ditahan lima lelaki warganegara India dan satu lelaki warganegara Pakistan selain satu pegawai kanan JIM yang bertugas di Bukit Kayu Hitam dipercayai sebagai ‘pemudah cara’.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun dan mengakibatkan ketirisan hasil negara yang dianggarkan sebanyak RM4.1 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket itu membawa masuk warga asing khususnya dari India melalui pintu masuk darat secara terancang dengan bantuan ‘transporter’ yang berselindung sebagai pemandu teksi.

Katanya, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan endorsement pada pasport warga asing walaupun mereka tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

“Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 bagi setiap seorang manakala RM400 akan dibayar oleh ‘ejen’ kepada pegawai bagi setiap pasport yang diturunkan endorsement,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah bagi membantu siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini